DahDigital galak umum mahir guna aplikasi kerajaan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum mengenai kekangan yang dihadapi oleh sebahagian penduduk di negeri ini terutamanya golongan warga emas semasa melakukan urusan menggunakan aplikasi digital.

Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol berkata bagi menangani isu berkaitan Kerajaan Negeri telah melaksanakan beberapa inisiatif bagi meningkatkan literasi pendigitalan dalam kalangan penduduk negeri ini.

“Sebagai contoh, penggunaan telefon pintar untuk membuat transaksi pembayaran dianggap tidak praktikal untuk golongan warga emas jika tidak diberikan pendedahan yang sepatutnya.

“Justeru, kita melaksanakan beberapa inisiatif, antaranya menerusi pelancaran program DahDigital oleh Digital Penang yang bertujuan meningkatkan literasi digital dan penggunaan teknologi asas dalam kalangan masyarakat khususnya warga emas dan golongan tidak berkemampuan.

“Selain itu, salah satu fokus utama program DahDigital diperkenalkan adalah untuk menggalakkan penggunaan e-dompet dan aplikasi kerajaan seperti Penang Smart Parking (PSP), Pulse, Aspire, MySejahtera, iSejahtera, eRumah dan lain-lain lagi.

“Kelas-kelas pendedahan yang dijalankan melalui program Klinik Digital di bawah program DahDigital ini menawarkan modul pembelajaran yang mudah difahami dan juga secara interaktif,” jelasnya pada sesi soalan lisan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 23 November 2023.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze.

Difahamkan, sehingga kini sebanyak 385 kelas telah dijalankan melibatkan penyertaan seramai 7,537 peserta yang berpeluang memahami pembelajaran digital yang lebih meluas.

Mengulas lanjut, Rashidi menyatakan bahawa Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak ketinggalan membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas bagi menggunakan aplikasi pendigitalan.

“Terdapat beberapa program telah dilaksanakan untuk membantu orang awam termasuk golongan OKU dan warga emas yang tidak mempunyai kemahiran digital untuk menggunakan aplikasi PSP.

“Antaranya ialah menyediakan tiket letak kereta secara e-kupon sebagai inisiatif pembayaran yang boleh dibeli daripada 480 ejen yang dilantik.

“Pendekatan menjalankan program dan aktiviti sosial di tempat yang kerap dikunjungi golongan warga emas juga dapat membantu mereka menambah pengetahuan mengenai aplikasi sedia ada.

“Di samping itu, bukan sahaja kaunter pertanyaan turut disediakan dan beroperasi pada setiap hari Khamis, malahan juga penganjuran sesi taklimat dna praktikal penggunaan aplikasi PSP menerusi Penang Smart Parking Senior Citizen Outreach Programme turut diadakan,” tambahnya lagi.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN