Dahlia Pulau Pinang, penuhi pasaran tempatan

Admin
KEWUJUDAN kebun dahlia dan mawar merupakan antara tarikan menarik bagi mereka yang melakukan aktiviti pendakian di Mukim 4, Air Itam ke Balik Pulau.
Kawasan tersebut berhampiran Bukit Bendera yang diiktiraf sebagai Rizab Biosfera Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) ketiga Malaysia, kalau tidak dipenuhi tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran,  ia adalah hutan simpan.
Baru-baru ini wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurufoto, SIEW CHIA EN berkesempatan menemu bual pasangan yang mahu dikenali sebagai CHIN dan isterinya, MOW YEAN HORNG mengenai penanaman dahlia dan ros tersebut.
Menurut Chin, beliau bersama-sama isterinya sudah mengusahakan tanaman dahlia tersebut sejak 10 tahun lalu.
“Sebelum ini, kami menanam sayur-sayuran, namun penjagaan sayur bukanlah satu perkara yang mudah dan sangat bergantung kepada faktor cuaca serta ia terdedah kepada risiko serangan penyakit.
“Sebenarnya, tanaman sayur telah diusahakan sejak zaman datuk saya lagi dan saya merupakan generasi ketiga.
“Jadi, 10 tahun lepas saya cuba mengusahakan bunga dahlia yang turut mendapat permintaan menggalakkan terutamanya untuk upacara keagamaan,” ujarnya yang memiliki kebun bunga seluas dua ke tiga hektar di sini.
Difahamkan, bunga tersebut kebanyakannya digunakan dalam upacara agama seperti mandi dan membersihkan muka, serta begitu mendapat sambutan daripada penganut agama Hindu.
“Sambutan paling menggalakkan sudah tentunya diterima pada perayaan Hari Wesak,” jelasnya.
Rutin harian Chin bersama-sama isteri dan pekerja bermula dari jam 4 pagi hingga 5 pagi, untuk memetik bunga, selepas jam 6 pagi, bunga-bunga tersebut akan dihantar ke pasar dekat Air Itam sebelum diedarkan ke seluruh Pulau Pinang.
Selepas itu, menurut beliau, mereka akan kembali ke kebun semula untuk proses menyiram, membaja, mengikat serta menstabilkan dan memeriksa tahap kesihatan pokok.
“Dalam satu hari, saya boleh memetik 3,000 hingga 4,000 kuntum bunga, bergantung sama ada bunga tersebut matang atau tidak, dan cuaca hari tersebut.
“Dahlia lebih subur di lereng bukit atau puncak, cuaca tidak boleh terlalu sejuk atau terlalu panas.
“Jadi, jika ditanam di tanah rata, ia agak menjadi sukar untuk mekar dengan sempurna.
“Pokok dahlia mengambil masa kira-kira 60 hingga 70 hari dari (tempoh) penanaman hingga matang, selepas itu mengambil masa kira-kira satu setengah bulan untuk dituai,” ujarnya sambil menerangkan tentang warna-warna bunga dahlia.
Mengulas lanjut, Chin menjelaskan bahawa warna bunga-bunga tersebut mekar dalam pelbagai seperti kuning, ungu, biru, jingga, merah, dan putih.
“Kepelbagaiuan warna menjadikan bunga dahlia turut dikenali sebagai ‘bunga tujuh warna’.
“Walaupun pulangan penanaman bunga dahlia berbaloi, namun pekerjaan ini adalah bersifat tradisional serta membuatkan anak-anak muda kurang berminat untuk menceburi sektor yang sama.
“Pada peringkat awal, Mukim 4 ini memang ramai dengan penduduk setempat dan keluarga yang menceburi bidang ini, tetapi zaman berubah, peluang pekerjaan semakin banyak dan lumayan di luar sana, jadi kebanyakan generasi baharu sudah berhijrah.
“Yang (masih) ada (di sini) sekarang majoritinya adalah warga emas sahaja, anak saya juga ada yang menuntut di kolej dan bersekolah menengah tingkatan lima, kalau boleh biarlah mereka pun pilih minat mereka sendiri.
“Justeru, kami pun tidak ‘menurunkan ilmu’ tentang penanaman bunga ini kepada mereka,” ulasnya lanjut.
Selain itu, beliau memberitahu bahawa selepas tempoh pandemik, ia menyaksikan cabaran baharu iaitu kenaikan kos baja, dan ini secara langsung telah menyebabkan Chin terpaksa menaikkan harga jualan bunganya.
Menutup bicara, Chin dan isterinya berharap para pendaki yang melalui kawasan tersebut agar tidak memetik atau merosakkan tanaman yang diusahakannya kerana itu adalah mata pencarian mereka sekeluarga.