Dakwaan 18,000 Melayu hijrah karut

Admin
MANSOR Othman (kiri) dan Abdul Malik Abul Kassim menunjukkan keratan akhbar berhubung dakwaan tidak berasas penghijrahan orang Melayu Pulau Pinang pada sidang media di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (kiri) dan Abdul Malik Abul Kassim menunjukkan
keratan akhbar berhubung dakwaan tidak berasas penghijrahan
orang Melayu Pulau Pinang pada sidang media di sini baru-baru
ini.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI & NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – “Dakwaan bilangan penduduk Melayu di negeri ini yang makin susut adalah mengarut,” tegas Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman bagi mengulas laporan akhbar arus perdana, Berita Harian bertarikh 21 Mei 2012 yang mendakwa bahawa lebih 18,000 orang Melayu Pulau Pinang telah berhijrah ke negeri lain antara 2009 hingga 2010 akibat tidak mampu menampung kos sara hidup terlalu tinggi di sini baru-baru ini.

Mansor berkata, jumlah penduduk mencatatkan penambahan dan ianya adalah berdasarkan sumber Jabatan Perangkaan Malaysia menerusi Buku Laporan Statistik Utama Pulau Pinang 2010.

“Terdapat penambahan penduduk apabila 616,400 (2008) bertambah kepada 636,100 (2010) orang. Selain itu, Data Pemilih Induk dari 2008 hingga suku tahun ketiga 2011 menunjukkan bahawa penambahan pengundi Melayu meningkat mendadak di Pulau Pinang iaitu sebanyak 38,502 orang.

“Pada tahun 2008, pengundi Melayu adalah sebanyak 239,772 orang dan pada suku tahun ketiga 2011 (278,274 orang). Ini jelas membuktikan bahawa dakwaan seramai 18,000 orang Melayu berpindah dari negeri ini adalah meleset sama sekali,” ujarnya pada sidang media di sini barubaru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim.

Dalam pada itu, menurut kenyataan dikeluarkan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, Zairil Khir Johari di Kuala Lumpur baru-baru ini menyatakan bahawa laporan yang memetik mantan Timbalan Ketua Menteri I, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai berkata bahawa hasil kajian tersebut “membuktikan Bumiputera Pulau Pinang dipinggirkan secara halus oleh Kerajaan Negeri pimpinan DAP” adalah amat diragui dan bercanggah dengan perangkaan daftar pengundi negeri sejak 2008 hingga 2011.

“Kesahihan dakwaannya (Mohammad Fairus) adalah amat diragui yang mana perangkaan dalam daftar pengundi membuktikan bahawa bilangan pengundi Melayu di Pulau Pinang telah bertambah dengan begitu banyak sekali.

“Saya tidak tahu apa niat sebenar Mohammad Fairus, tetapi adalah jelas bahawa nada yang digunakannya berunsur perkauman. Sekiranya logik Mohammad Fairus yang mengaitkan penghijrahan orang dengan penindasan perkauman itu benar, adakah ianya bermaksud bahawa jika terdapat pengurangan atau penghijrahan bukan Melayu di negeri-negeri lain, maka mereka telah dipinggirkan oleh kerajaan negeri masing-masing?’’ jelas beliau.

Beliau memberitahu bahawa tindakan Mohammad Fairus jelas membuktikan bahawa sekadar menggunapakai logik yang tidak berasas untuk memainkan sentimen perkauman.

“Pendirian yang berbaur perkauman ini adalah amat tidak bertanggungjawab dan hanya mendedahkan belangnya sebagai seorang hipokrit kerana menyerang kerajaan yang pernah disertainya setelah gagal menjalankan tugasnya sebagai timbalan ketua menteri dengan baik,’’ tegas Zairil.

Umum mengetahui bahawa semua dasar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang adalah dasar-dasar yang bersifat adil kepada semua tanpa mengira warna kulit atau agama.

Pelbagai rancangan dan program telah dilaksanakan untuk membantu warga Pulau Pinang untuk menampung kos kehidupan termasuk bantuan-bantuan kebajikan dan tabung perumahan mampu milik berjumlah RM500 juta yang akan digunakan untuk menyediakan perumahan mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang. Tambahan kepada fasa pertama perumahan mampu milik di Batu Kawan, Kerajaan Negeri juga telah mengumumkan fasa kedua yang akan membabitkan kawasan-kawasan pulau seperti di Daerah Timur Laut dan Barat Daya.