Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
SUNGAI GELUGOR – Ekoran kejadian banjir kilat membabitkan 10 buah rumah di Kampung Sungai Gelugor baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima telah mengambil inisiatif khas untuk mendalamkan parit dan Sungai Gelugor bagi menyelesaikan dilema tersebut.
Selain itu, kerja-kerja pembersihan sampah-sarap di muara sungai yang dikenalpasti sebagai faktor penyebab banjir kilat turut dijalankan.
Penyelesaian tersebut adalah hasil perbincangan ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer dengan pihak berwajib secara berasingan tentang banjir kilat di Sungai Gelugor membabitkan agensi-agensi yang terlibat iaitu Pejabat Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak IJM.
Dalam perkembangan lain, pembinaan dua buah dewan di Sungai Gelugor oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) merupakan satu lagi inisiatif Rayer untuk menaiktaraf kehidupan penduduk di sini.
Cadangan pembinaan dewan ini dipersetujui setelah mereka mengadakan beberapa siri rundingan dengan pihak pemaju bagi mengubah perancangan asal mereka dengan kerajaan terdahulu yang memindahkan semua nelayan dari Sungai Gelugor ke jeti di Jelutong.
Menurut Rayer, dewan di jeti tetap nelayan Sungai Gelugor akan berfungsi sebagai tempat berkumpul, mengadakan perbincangan, perancangan, pusat penyebar amaran laut serta bagi menjalankan aktiviti berkaitan nelayan.
Manakala, Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Gelugor akan berfungsi sebagai tempat di mana JKKK mengadakan aktiviti yang membawa manfaat kepada penduduk, mengeratkan silaturrahim dan juga sebagai pusat perancangan menaiktaraf secara berperingkat.