Dana Pembangunan Belia, gerakkan aktiviti pemerkasaan belia

promo

DANA sebanyak RM100,000 disediakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada pertubuhan atau persatuan belia bagi menggerakkan program dan aktiviti sebagai usaha memperkasakan pembangunan belia di negeri ini.

Dana Pembangunan Belia adalah inisiatif MMK Belia, Sukan dan Kesihatan yang memberi peluang kepada pertubuhan belia yang berdaftar di bawah  Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) atau di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) untuk menganjurkan program atau aktiviti berkaitan belia.

daniel gooi
DANIEL Gooi Zi Sen.

Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, DANIEL GOOI ZI SEN berkata, pihaknya melantik Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) sebagai urus setia bagi permohonan dana tersebut.

Saya mengalu-alukan semua pertubuhan belia yang berdaftar di Pulau Pinang untuk memohon dana ini yang dapat membantu aktiviti dan program mereka untuk tahun ini.

“Permohonan ini telah dibuka sejak Januari 2024 dan tarikh akhir permohonan adalah pada 31 Mac 2024.

“Dana ini adalah bertujuan untuk menggerakkan program dan aktiviti pada peringkat pertubuhan sebagai usaha memperkasakan agenda pembangunan belia,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

sl gwee
GWEE Sai Ling.

Bagi Pengurus Besar PYDC, DR. GWEE SAI LING ketika dihubungi berkata, dana yang pertama kali dilancarkan ini adalah khusus untuk pembangunan belia.

Dana ini adalah sebagai galakan untuk beraktiviti dan dijangka menjana impak sosial yang amat positif dalam kalangan pertubuhan mahupun persatuan belia.

“Saya juga difahamkan bahawa kebanyakan pertubuhan atau persatuan belia, bukan sahaja di Pulau Pinang malah seluruh negara menghadapi kekangan dari segi kewangan.

“(Dan) ini telah mengehadkan penganjuran sesuatu program khasnya membabitkan pembangunan belia.

“Justeru, saya percaya bahawa penyediaan dana ini akan membantu mereka menjayakan agenda pembangunan belia baik untuk ahli masing-masing ataupun untuk kelompok belia yang disasarkan,” jelasnya.

mohamad nazri
MOHAMAD Nazri Abdul Latiff.

Dalam pada itu, MOHAMAD NAZRI ABDUL LATIFF menyambut baik inisiatif yang diperkenal Kerajaan Negeri itu.

“Inisiatif ini memberi ruang kepada pertubuhan belia untuk menganjurkan program-program berkaitan kesukarelawan, kepimpinan dan seterusnya memperkasakan agenda pembangunan belia di negeri ini.

“Dana ini juga saya lihat sebagai nilai tambah kepada golongan belia terhadap usaha yang dilakukan pada peringkat Persekutuan.

Terima kasih juga kepada Exco Belia yang cakna dan sentiasa memberi perhatian terhadap agenda pembangunan belia di Pulau Pinang.

“Saya anggap ini sebagai pengiktirafan terhadap kerja buat aktivis belia dan pada masa depan dana ini dapat dikekalkan atau ditambah, barulah kita dapat melihat negeri ini penuh dengan aktiviti dan program berpersatuan,” katanya yang merupakan Pengerusi Gerakan Belia 4B Negeri Pulau Pinang.

muhamad shahrizul
MUHAMAD Shahrizul Muiz.

Bagi MUHAMMAD SHAHRIZUL MUIZ, inisiatif mewujudkan dana untuk pertubuhan belia di negeri ini amat baik.

“Terutamanya kerana kurangnya karenah birokrasi dan jabatan yang perlu dilalui, segala cadangan dapat diserahkan terus kepada YB Exco untuk diteliti (permohonan).

Lagipun, dana yang diperuntukkan tidaklah kecil, RM100,000 adalah jumlah yang besar dan boleh dimanfaatkan untuk banyak tujuan.

“Walau bagaimanapun, objektif dana tersebut boleh diperluaskan lagi agar lebih banyak kategori dapat manfaat, mungkin boleh pertimbangkan kategori ‘Keusahawanan Belia’,” sarannya yang merupakan Pengasas dan Penasihat Malaysian Youth Generation Organisation (MYGO).

francis khor
FRANCIS Khor.

Pengerusi Clan-Association Youth Committee Penang, FRANCIS KHOR ketika dihubungi berkata, beliau mengalu-alukan inisiatif pemberian dana tersebut.

“Seperti kebanyakan persatuan atau pertubuhan, sumber kewangan adalah terhad.

Dana untuk mengadakan aktiviti kebiasaan dibiayai oleh persatuan induk atau hasil sumbangan daripada ahli-ahli.

“Memandangkan inisiatif ini khas untuk persatuan belia maka pihak kami akan menguar-uarkan kepada semua ahli gabungan untuk memohon dan membuat perancangan kewangan untuk program dan aktiviti,” jelasnya.

ahmad kamal
AHMAD Kamal Abdul Aziz (duduk, dua dari kiri) bersama-sama sayap pemuda Young Muslim Sports Club.

Sementara itu, Ketua Pemuda Young Muslim Sports Club (YMSC), AHMAD KAMAL ABDUL AZIZ berpendapat bahawa dana ini membuka peluang dan ruang pembangunan belia secara menyeluruh.

Terutamanya pada aspek pembangunan kemahiran belia yang membolehkan anak muda meneroka peluang-peluang kerjaya yang baharu mahupun luar dari bidang pengajian mereka.

“Selain itu, dari segi pertubuhan pula, pastinya memberi peluang untuk kami menganjurkan program dengan lebih efektif dan produktif seiring dengan objektif dan kehendak kerajaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berharap agar pihak kerajaan dapat memberi pertimbangan untuk menambah program sukan sebagai salah satu objektif pemberian dana RM100,000 itu.

“Hal ini kerana, sukan merupakan aspek utama yang selalu mendapat perhatian dalam kalangan anak muda,” tegasnya.

Antara syarat permohonan adalah :

  1. Pertubuhan belia berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) atau di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) atau berdaftar di bawah Akta Parlimen;
  2. Beralamat di Negeri Pulau Pinang;
  3. Program-program yang dianjurkan bersasarkan belia berumur dari 15-40 tahun dan berasal dari Negeri Pulau Pinang;
  4. Permohonan untuk program yang dianjurkan pada tahun 2024 dan sebelum 15 November 2024;
  5. Program berbentuk sukan adalah tidak dipertimbangkan.

 

Difahamkan, skop program dan aktiviti yang dianjurkan mestilah berobjektifkan kemahiran, kebolehpasaran, kesukarelawan, berpersatuan, kepimpinan dan pengiktirafan atau penganugerahan.

 

Setiap permohonan yang dikemukakan juga mesti disusuli dengan kertas kerja lengkap dan salinan sijil pendaftaran persatuan. Panel Penilaian Dana Pembangunan Belia akan menilai untuk pertimbangan kelulusan dalam tempoh tidak lebih daripada 15 hari bekerja.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi urus setia melalui emel [email protected] atau talian 012-401 0186 (Samantha).

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI