PADA 23 dan 24 November ini adalah tarikh yang penting bagi peminat sukan permotoran kerana perlumbaan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2024 akan menempuh pusingan 10 saingan di kawasan tanah lapang serta tapak parkir Stadium Negeri Pulau Pinang dekat Batu Kawan.
MUHAMAD ALAFF HAIRULNIZAN, 24, dan DANISH AIMAN ZAMRUN, 19, merupakan antara jaguh yang yang akan menyahut cabaran di litar perlumbaan penentu bagi kategori Pro-Am/Privateer itu nanti.
Pusingan sembilan yang berlangsung di Bandar Medini Iskandar, Johor pada 8 dan 9 November lepas menyaksikan Muhamad Alaff berada pada kedudukan keenam terbaik, dengan mencatatkan pusingan terpantas dalam perlumbaan 50.219 minit; sementara rapat di belakang adalah Danish Aiman pada kedudukan ketujuh dalam senarai saingan.
Pun begitu, keputusan keseluruhan semua sembilan pusingan menyaksikan Mohamad Alaff berada kedudukan kedua terbaik dengan berkongsi 103 mata bersama-sama jaguh dari negeri Selangor, Md. Aqid Jumali.
Dan, Danish Aiman selepas sembilan pusingan perlumbaan pula berada pada kedudukan keempat terbaik dengan mengumpul 97 mata.
Pada 18 November lepas, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB bersama-sama jurugambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI berpeluang menemu ramah Pengurus Pasukan WBH Racing Team, YUSNILIRON MAT YATIM, 49, di bengkel membaik pulih motosikal Workshop Burung Hantu dekat Lebuh Pekaka 4, Gelugor.
Yusniliron memberitahu bahawa Pusingan Satu PETRONAS Malaysian Cub Prix 2024 bermula pada 2 dan 3 Mac di Jasin Bestari, Melaka; manakala pusingan 10 dan akhir bagi musim ini adalah sangat penting kerana akan berlangsung di kawasan tanah lapang (tapak parkir) Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan pada 23 dan 24 November ini.
“Semusim perlumbaan sehingga pusingan ini, kedua-dua ayam tambatan pasukan WBH Racing Team ini telah membolot tujuh piala.
“Kalau dalam pusingan 10 di Stadium (Negeri Pulau Pinang,) Batu Kawan nanti, kedua-dua ayam tambatan WBH Racing Team kita berjaya berada pada kedudukan dua terbaik carta, secara atas kertas, kita (WBH Racing Team) akan berada pada kedudukan pertama dan kedua terbaik dalam carta musim perlumbaan bagi kategori ini,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada penaja utama pasukan iaitu firma pengeluar Electronic Control Unit (ECU) motorsikal jenama Tune Boss.
Bercerita lanjut, Yusniliron berkata minatnya yang mendalam dalam dunia permotoran mendorongnya membuka bengkel membaik pulih motosikal kira-kira sedekad yang lalu.
Selama tempoh kira-kira 10 tahun tersebut, beliau pernah membawa pasukan lumba menyertai beberapa musim perlumbaan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang diadakan sebelum ini.
“Masuk perlumbaan atas nama WBH Racing Team, tahun ini baru bermula; namun beberapa musim perlumbaan PETRONAS Malaysian Cub Prix sebelum ini memang pernah hantar pasukan atas nama lain.
“Muhamad Alaff menyertai musim perlumbaan PETRONAS Malaysian Cub Prix pun sudah 13 tahun, dan Danish Aiman kira-kira tujuh tahun.
“Kalau nak cerita modal untuk sebuah motosikal sahaja, kira-kira RM35,000; kalau dua buah motosikal untuk Muhamad Alaff dan Danish Aiman memerlukan modal pemula kira-kira RM70,000.
“Untuk sampai ke tahap sekarang ini, WBH Racing Team bukan hanya ada saya selaku pengurus pasukan dan kedua-dua ayam tambatan kami (Muhamad Alaff dan Danish Aiman), malah ada pasukan mekanikal juga (yang mana) memberi gambaran WBH Racing Team memang memerlukan lebih banyak sokongan dan tajaan untuk terus berada dalam arena ini.
“Peribahasa ada menyebut, ‘enggan seribu daya, mahu sepatah kata’… ada macam-macam cabaran selain memerlukan lebih banyak penajaan untuk kekal dalam arena ini, saya selalu pesan kepada rakan sepasukan jangan kita selalu ‘ber-tapi-tapi’,” katanya dalam nada seloroh.
Baginya, penyertaan WBH Racing Team dalam musim perlumbaan PETRONAS Malaysian Cub Prix 2024 ini kalau tidak berjaya membolot dua kedudukan terbaik carta saingan pun, paling penting masih dapat menghantar mesej baik kepada masyarakat iaitu mengenai bahaya gejala lumba haram.
“PETRONAS Malaysian Cub Prix yang dianjurkan bermusim-musim ini bukan sekadar mencari siapa jaguh di litar lumba yang sebenar, malah nak hantar mesej kepada semua bahawa inilah arena perlumbaan yang adil dan profesional di litar yang sangat mementingkan aspek keselamatan semua pihak.
“Dari segi jumlah peminat, tentulah lebih ramai peminat PETRONAS Malaysian Cub Prix 2024 berbanding kami (WBH Racing Team) yang ketika ini ada lebih 10,000 peminat secara dalam talian.
“Dengan jumlah peminat dalam talian kira-kira 10,000 ini, kami (WBH Racing Team) berasa ada juga tanggungjawab sosial yang perlu dimainkan oleh kami selain memburu kedudukan dalam senarai carta perlumbaan (iaitu) anak muda kita khususnya di negeri Pulau Pinang harus dipujuk untuk tidak terjebak dalam aktiviti lumba haram.
“Pihak berwajib seharusnya melihat peri penting penganjuran PETRONAS Malaysian Cub Prix 2024 ini; peluang WBH Racing Team dengan penajaan Tune Boss ini; yang mana turut menyumbang pada kempen mencegah gejala lumba haram di tanah air ini,” jelasnya lagi.
Sebelum pada itu, Buletin Mutiara sempat bertanya lanjut mengenai persiapan akhir Muhamad Alaff dan Danish Aiman menjelang pusingan 10 PETRONAS Malaysian Cub Prix 2024 pada 23 dan 24 November nanti.
“Mula-mula menyertai sukan ini, memang ada perasaan takut.
“Minat yang mendalam dalam sukan ini, saya pilih berlumba di litar sebab lebih selamat dan lebih disegani berbanding kalau kemalangan akibat lumba haram.
“Jatuh di litar perlumbaan, banyak kali juga, insyaAllah lebih selamat sebab risiko kecederaan kurang.
“Tiap-tiap hari, memang kena ada komitmen yang tinggi sebab di litar perlu melengkapkan sesi latihan harian dalam 70 hingga 80 pusingan.
“Setiap hari mesti melengkapkan sesi latihan sebanyak 80 pusingan di litar sebab dalam satu-satu perlumbaan sebenar pun ada 40 pusingan mesti dihabiskan.
“Bagi saya PETRONAS Malaysian Cub Prix ini sudah menjadi sukan arus perdana bagi muda-mudi, justeru, sewajarnya di negeri Pulau Pinang pun ada litar lumba motosikal untuk membendung aktiviti lumba haram,” jelas Danish Aiman yang merupakan anak kelahiran Gong Badak, Terengganu.
Sebagaimana diaspirasikan oleh Pengurus Pasukan, Yusniliron, Danish Aiman berkata beliau berharap keghairahan dalam memburu kedudukan dalam musim perlumbaan kali ini sedikit banyaknya turut membawa mesej kesedaran kepada para peminat supaya menjauhkan diri daripada aktiviti lumba haram.
“Di luar negara, masyarakat memang memandang rendah kepada mereka yang menyertai aktiviti lumba haram kerana kemenangan yang diraih sangat bergantung pada nasib serta membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
“Di luar negara, mereka yang minat dalam sukan lumba motosikal dilatih seawal usia lima tahun atau enam tahun, untuk menjadi pelumba profesional suatu hari nanti.
“Di Malaysia ini juga sebenarnya kesedaran untuk melatih bakat baharu seawal usia sembilan atau 10 tahun di litar yang selamat pun telah ada, dengan sokongan pelbagai pihak termasuk penaja berwajib.
“Dalam konteks Pulau Pinang, selain memerlukan lebih banyak penaja untuk pasukan-pasukan yang telah sedia ada di negeri ini melaksanakan program pengembangan dan latihan, saya fikir pihak berwajib perlu mempertimbang untuk mewujudkan sebuah litar lumba yang selamat juga jika bersungguh-sungguh mahu membendung aktiviti lumba haram.
“Alhamdulillah, ketika ini, saya bersama-sama rakan sepasukan masih berpeluang melaksanakan sesi latihan di dua litar lumba, sama ada dekat UNIMAP (Universiti Malaysia Perlis) atau Litar Dato’ Sagor (Perak).
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin melahirkan rasa syukur atas peluang mewakili WBH Racing Team bagi memburu kedudukan terbaik dalam pusingan 10 sempena musim (perlumbaan) PETRONAS Malaysian Cub Prix 2024.
“Saya berharap dapat memberi pencapaian terbaik untuk pasukan, pihak penaja (Tune Boss), keluarga dan diri sendiri juga semasa pusingan 10 (PETRONAS Malaysian Cub Prix 2024) nanti,” jelasnya mengakhiri pertemuan hari itu.