DAP kekal tanding tujuh kerusi Parlimen di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Parti Tindakan Demokratik (DAP) kekal bertanding di tujuh kerusi Parlimen di negeri Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bahawa tujuh kawasan Parlimen berkenaan merupakan semua kerusi yang telah dimenangi parti itu pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas.

“Kita kekal (bertanding) dengan tujuh kerusi Parlimen seperti PRU-PRU yang lepas.

“Di Pulau Pinang tidak ada sebarang penambahan atau perubahan bagi kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh DAP,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Kon Yeow berkata, DAP Pulau Pinang dijangka akan menyerahkan senarai nama calon yang dicadangkan kepada DAP Pusat untuk diteliti pada minggu ini.

“Kita akan serahkan senarai (calon) kepada DAP Pusat, dan Pusat akan meneliti senarai serta membuat keputusan sebelum pengumuman dilakukan.

“DAP Pusat akan membuat pengumuman mengenai senarai calon di semua negeri yang dijadualkan dua atau tiga hari sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Pada PRU14 lalu, DAP memenangi semua tujuh kerusi Parlimen yang ditandingi parti itu di Pulau Pinang iaitu Tanjong (Chow Kon Yeow); Bukit Bendera (Wong Hon Wai); Jelutong (R.S.N. Rayer); Bukit Gelugor (Ramkarpal Singh); Bagan (Lim Guan Eng); Bukit Mertajam (Steven Sim Chee Keong) dan Batu Kawan (P. Kasthuriraani).