DAP parti pemerintah, perlu lagi kukuhkan organisasi – Chow kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Sebagai parti pemerintah peringkat negeri dan nasional, sekalian anggota Parti Tindakan Demokratik (DAP) wajar memikul tanggungjawab bersama bagi memperkukuhkan organisasi selari dengan citarasa rakyat teramai.

CHOW Kon Yeow

Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang juga Ketua Menteri menyampaikan amanat itu semasa berucap dalam Konvensyen Tahunan Negeri DAP 2023 di sini pada 19 November 2023.

“Kita (DAP) sekarang menjadi parti pemerintah, bukan parti pembangkang lagi, jadi kita perlu meneruskan usaha memperkukuhkan lagi kekuatan organisasi dengan mengembangkan pengaruh kita (DAP) serta mendapat sokongan daripada rakyat,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Kata Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang akan terus bersama-sama Kerajaan Persekutuan dalam menghadapi pelbagai isu yang diledakkan oleh pihak pembangkang, asalkan berpihak kepada rakyat di negeri ini.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang turut merakamkan penghargaan kepada pucuk pimpinan parti peringkat negeri dan nasional kerana terus memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang bagi penggal pentadbiran kedua dan akhir pasca Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) lepas.

Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng yang juga mantan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Pengangkutan turut berucap pada konvensyen tersebut.

Speaker Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang pada kali ini ialah ADUN Pantai Remis, Perak, Wong May Ing serta dibantu oleh ADUN Subang Jaya, Selangor, Michelle Ng Mei Sze.