SIAPA sangka dengan hanya berniaga secara kecil-kecilan di sekitar Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang), kini dua rakan kongsi berjaya mengusahakan kafe sendiri di tengah bandar raya George Town.
NUR RAHMAN JOHARI, 29 dan rakan kongsinya, ANIS IZZATI CHE ANUAR, 23, berkesempatan berkongsi sedikit sebanyak latar belakang perniagaan mereka dalam satu sesi wawancara khas bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar SITI NURATIKAH RAHMAT baru-baru ini.
Menurut Nur Rahman, idea perniagaan ini tercetus dari hidangan ‘pancake’ atau lempeng yang merupakan makanan ringan (‘comfort food’) berasal dari negara Barat.
“Setahu saya, tiada lagi kafe di negeri ini yang menjual lempeng, kebanyakannya juga hanya menyediakan pastri dan jenis pencuci mulut yang lain.
“Secara peribadinya, lempeng merupakan antara makanan kegemaran saya dan para pencinta lempeng, kerana ia boleh dinikmati bila-bila sahaja apabila teringin.
“Oleh sebab itu, saya menyediakan sebuah kafe khusus menjual lempeng, dan di situ juga bermula perjalanan kami berdua dalam mencuba pelbagai menu ‘comfort food’ yang lain,” ujarnya yang dahulu merupakan seorang jurutera di ibu kota.
Menyingkap detik awal mula berniaga, Nur Rahman akui pelbagai liku perlu dihadapi bersama-sama rakan kongsi dek masih belum mempunyai premis kafe sendiri.
“Sudah tentu apabila hanya menyewa tapak, kami perlu hadkan jualan, contohnya tidak boleh menjual pelbagai menu, disebabkan itu kami hanya menjual lempeng yang dikenali sebagai ‘Pancake.co’ dan ‘Lampu Dongdeng’.
“Hasil jualan juga tidak begitu menguntungkan, ditambah pula dengan kadar sewa yang tidak berpatutan mengakibatkan kami mengundur dan cuba mencabar diri dengan mempunyai ruangan sendiri.
“Tidak lama kemudian, saya dan Anis (rakan kongsi) menemui sebuah lot kedai untuk disewa dan membuat keputusan yang tepat untuk mula menapak perniagaan di situ,” jelasnya lagi.
Kata Anis Izzati, Sinar Koffee yang bertemakan hiasan dalaman ‘pop culture’ dengan iringan lagu popular era 1980-an itu mula beroperasi menjelang Februari 2023 lalu.
“Saya dan Nur Rahman bukan datang dari latar belakang tahu memasak jauh lagi mempunyai kepakaran, tetapi kami berdua tidak putus belajar sehingga membuahkan hasil.
“Di Sinar Koffee, kami tetap mengetengahkan menu lempeng dan kini dengan mempunyai ruangan sendiri kami bebas menyediakan menu lain.
“(Dan) lebih istimewa terdapat juga pelbagai jenis minuman istimewa, salah satunya adalah kopi di sini.
“Pada peringkat awal, sudah tentu banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan bagi menemukan barang dan produk terbaik untuk menghasilkan juadah yang enak.
“Di samping itu, terdapat juga menu yang merupakan resipi arwah ibu Nur Rahman, saya cuba olah sendiri mengikut citarasa yang dijamin menjadi kegemaran pengunjung.
“Bagi Nur Rahman pula, dia lebih memahiri pembuatan kopi dan kini minuman selain kopi juga tersedia.
“Sejak beroperasi, kami berdua amat bersyukur kerana Sinar Koffe semakin dikenali ramai bukan sahaja pengunjung dari serata negeri, malahan juga pengunjung dari luar negara yang terdiri dari kalangan peminat kopi dan juga lempeng,” kongsinya yang merupakan penuntut di Universiti Sains Malaysia (USM).
Berkongsi tentang menu yang laris di Sinar Koffee, Anis Izzati turut menyatakan selain kopi dan lempeng mereka turut menghidangkan menu khas untuk pelanggan yang vegetarian, sebagai contoh Sinar Bowl, English Breakfast, Sinar Toast, Sinar Sandwich, French Toast, Stir Fry Noodle dan banyak lagi.
“Bagi pencinta kopi pula sudah tentu Sinar Latte dan Buttercream Latte antara minuman kegemaran pengunjung, lebih istimewa kerana minuman tersebut diolah oleh Nur Rahman sehingga sempurna.
“Untuk lempeng pula, More Smores dan Freshly Fruits sering menjadi pesanan pelanggan dek gabunggan buah-buahan segar dan juga sos coklat enak,” katanya sambil menyatakan pengunjung turut menikmati juadah sambil bermain permainan menarik yang disediakan.
Mengakhiri sesi wawancara, Nur Rahman dan Anis Izzati sempat berkongsi cabaran dan harapan mereka dalam menjayakan perniagaan mereka sehingga ke tahap membanggakan kini.
“Pada awalnya saya takut untuk mencuba dan gentar jika keseorangan, akan tetapi dengan kehadiran Anis sebagai rakan kongsi semuanya alhamdulilah berjalan dengan lancar dan teratur.
“Walaupun Anis juga sibuk dengan pembelajaran, dia mesti akan datang juga ke kafe untuk membantu, malah kini dengan kehadiran staf kami, Muhammad Iqmal Aidid Mohd. Riduan, Sinar Koffee banyak menyertai ‘pop up booth’ di sekitar negeri dan juga majlis perkahwinan.
“Selepas ini juga Sinar Koffee akan melebarkan sayap ke bidang korporat, dan jika diberikan rezeki kami akan membuka lagi satu cawangan Sinar Koffee dengan konsep yang berlainan sekitar Gurney Bay kelak,” ujar Nur Rahman menutup bicara.