MENJADI petani bukanlah kerjaya pilihan bagi kebanyakan orang memandangkan bidang ini memerlukan seseorang bekerja di bawah panas matahari, bergelumang dengan tanah dan menghabiskan masa seharian untuk memerhatikan tanaman.
Namun begitu, bagi mereka yang gigih berusaha disulami dengan kesabaran yang tinggi, bidang pertanian bukan sahaja memberikan kepuasan tersendiri malah mampu menjana hasil lumayan.
Perkara ini dibuktikan melalui usaha Khairul Amin Ahmad, 32, anak jati Pulau Pinang yang kini mengusahakan kebun sayuran seluas lima ekar dekat Kampung Aman, Tasek Gelugor..
Menurut Khairul Amin, beliau memulakan kerjaya sebagai wartawan sukan di sebuah agensi rangkaian televisyen milik kerajaan sebelum mengambil keputusan beralih ke sektor perladangan.
Selepas tiga tahun, Khairul Amin memutuskan untuk mengusahakan sendiri kebun sayur bermula dengan menanam lima jenis sayuran seperti bendi, sawi, bayam, kangkung dan kacang panjang di atas tanah seluas dua ekar.
“Saya mula melibatkan diri dalam sektor pertanian dengan bekerja bersama abang ipar selama kira-kira empat tahun sebelum mengambil keputusan untuk berdikari dengan membuka kebun sayuran sendiri yang diusahakan bersama isteri pada pertengahan tahun 2015.
“Bermodalkan RM15,000, saya mengusahakan kebun pertama dekat Pokok Sena seluas dua ekar dengan dibantu oleh dua orang pekerja.
“Selepas setahun, saya mengambil keputusan untuk mengembangkan lagi kebun sayuran kepada lima ekar dengan bantuan lapan orang pekerja selepas mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
“Tanaman sayuran utama yang saya usahakan adalah kangkung, sawi dan bayam serta beberapa jenis tanaman sampingan seperti bendi, terung dan kacang panjang bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui dekat Tasek Gelugor baru-baru ini.
Katanya lagi, anggaran hasil tanaman sayuran yang dikeluarkan dalam sehari adalah sebanyak 1200 kilogram (kg) atau 1.2 tan dengan kekerapan tuaian sebanyak dua kali.
“Hasil tuaian sebelah pagi akan dihantar ke beberapa daerah di Kedah seperti Gurun, Sik, Alor Setar, Guar Cempedak manakala bahagian petang adalah untuk pasar-pasar borong serta pasar raya seperti Mydin dan Sunshine di negeri ini.
“Sebelum pandemik COVID-19, sayur-sayuran ini turut dihantar ke luar negara melalui beberapa kapal persiaran dekat Jeti Swettenham melalui salah seorang pemborong di sana.
“Justeru, selepas ditolak semua perbelanjaan bagi membeli racun, benih dan kelengkapan pertanian, kita masih memperoleh keuntungan kira-kira RM15,000 sebulan bergantung kepada harga sayur-sayuran di pasaran,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa seseorang yang mahu berkecimpung dalam bidang pertanian perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan terutamanya mengenai tanah dan penjagaan tanaman.
“Selain kena buang rasa malu, hendak jadi petani juga memerlukan ilmu pengetahuan contohnya berkaitan nilai keasidan atau kealkalian (pH) sesuatu tanah kerana ia berkait rapat dengan pertumbuhan tanaman yang ditanam.
“Petani juga perlu mempunyai kesabaran tinggi kerana pertanian bukanlah bidang pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh masa singkat sebaliknya perlu menunggu beberapa bulan sebelum hasil dapat dijana,” katanya.
Menyentuh soal cabaran, Khairul Amin menjelaskan bahawa keadaan paling sukar bagi seseorang petani adalah cuaca terutamanaya apabila berlaku hujan lebat tanah akan menjadi lebih berasid.
“Selain itu, mencari pasaran juga merupakan antara cabaran yang dihadapi petani kerana kita sendiri perlu menganal pasti pasaran untuk jualan sayur-sayuran yang ditanam.
“Oleh itu, saya nasihatkan kepada mereka yang berhasrat untuk memulakan pertanian supaya mencari pemborong untuk membeli sayuran yang diusahakan terlebih dahulu supaya hasil yang dituai dapat dijual di pasaran.
“Bagaimanapun, apa yang paling dibimbangi oleh petani adalah apabila berlaku lambakan sayuran di pasaran yang mana keadaan ini akan menjejaskan harga jualan dan adakalanya hasil yang dikutip langsung tidak terjual,” ujarnya.
Dalam pada itu, Khairul Amin bidang pertanian masih lagi terbuka luas kepada sesiapa yang berminat untuk menceburkan diri dalam sektor tersebut.
“Nasihat saya kepada mereka yang mahu memulakan pertanian adalah jangan takutkan kegagalan kerana setiap perniagaan pasti ada untung dan rugi, yang peting kena terus berusaha,” katanya lagi.
Pada pendapat penulis, selain seorang yang peramah, sikap positif yang ditunjukkan Khairul Amin mungkin menjadi antara penyumbang kepada kejayaan yang dikecapi beliau pada hari ini.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS