Dasar asing sisa di punca dikuat kuasa kembali mulai 1 Julai – Exco

img 8877 JASON H’ng Mooi Lye (dua dari kanan) dan barisan kakitangan MBSP menyantuni salah seorang penghuni Taman Amansara Setia Fontaines, Kepala Batas yang didapati melaksanakan Dasar Pengasingan Sida Di Punca secara betul dekat unit kediamannya di sini pada 27 April 2024.

PINANG TUNGGAL – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan melaksanakan kembali langkah penguatkuasaan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca mulai 1 Julai depan.

img 8861
JASON H’ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata demikian seusai menyertai Operasi Forensik Sampah MBSP di Taman Amansara Setia Fontaines, Kepala Batas di sini pada 27 April 2024.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu lagi, mereka yang didapati tidak melaksanakan dasar tersebut di premis masing-masing kelak berisiko dikenakan kompaun maksimum RM500 oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); serta denda tidak melebihi RM2,000; penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit bersalah di mahkamah.

“Kerajaan Negeri percaya jika Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dilaksanakan sebaik mungkin di kawasan perumahan – baik bertanah mahupun berstrata – juga premis perniagaan dan kawasan industri, pelaksanaan dasar ini akan memanjangkan lagi hayat tapak pelupusan sampah di Pulau Burung dekat KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Jawi,” jelasnya lagi sambil mengesyorkan kedua-dua PBT melaksanakan kempen nilai secara agresif mengenai peri penting dasar itu, menerusi media baru seperti media sosial seperti Tik Tok, Facebook, Instagram dan sebagainya.

img 8871
JASON H’ng Mooi Lye (kiri sekali) dalam sidang media berkaitan menunjukkan modus operandi Operasi Forensik Sampah yang dilaksanakan oleh kumpulan inspektor MBSP menjelang tengah hari tadi, menunjukkan terdapat dua bahan yang boleh dikitar semula turut dimuatkan bersama sisa baki dalam bungkusan sampah sama di salah satu unit kediaman di sini.

Menjawab soalan pemberita, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui kedua-dua PBT sejak bulan Oktober tahun lepas sebenarnya telahpun melaksanakan program pendidikan kesedaran berkaitan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dengan penglibatan agensi kerajaan, PBT, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hatta peringkat sekolah.

img 8865
AHMAD Zabri Mohamed Sarajudin

Bercakap dalam sidang media sama, Pengarah Jabatan Khidmat Perbandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin memberitahu bahawa Operasi Forensik Sampah MBSP di sini sejak pagi tadi akan terus dilaksanakan di taman perumahan bertanah lain sekitar bahagian Seberang Perai pada setiap hari Sabtu, serentak dengan kerja-kerja kutipan sisa kitar semula yang dilaksanakan oleh MBSP.

“Kita akan terus melaksanakan (Operasi) Forensik Sampah yang mana sekiranya dalam sampah yang diperiksa dalam tong atau plastik sampah di premis, terdapat lebih daripada lima sisa yang sah boleh dikitar semula, kita (MBSP) boleh mengeluarkan notis.

“Pada hari ini, dalam Operasi Forensi Sampah di Taman Amansara Setia Fontaines ini, kita hanya mengeluarkan notis; tetapi selepas 1 Julai 2024, kita akan mengeluarkan kompaun.

“Sehubungan itu, setiap pemunya dan penghuni premis hendaklah memastikan sisa yang boleh dikitar semula diasingkan dari sisa baki,” tegas beliau.

Menurutnya lagi, langkah penguatkuasaan semula dasar tersebut adalah berdasarkan Undang-Undang Kecil Pengasingan Sampah dan Pelesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang Boleh Dikitar Semula (MBSP) 2016.

img 8862
BENSON Neoh Kah Wei

Buletin Mutiara difahamkan sejak awal pagi tadi sekalian inspektor dari Jabatan Khidmat Perbandaran MBSP – dalam tiga kumpulan pelaksanaan – telahpun melaksanakan Operasi Forensik Sampah di 397 unit kediaman bertanah dekat Taman Amansara Setia Fontaines, Kepala Batas.

Dengan daya huni hampir 90 peratus di sini, hasil operasi tersebut mendapati lebih 80 peratus pemunya atau penghuni perumahan berkenaan tidak melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca.

Ahli Majlis MBSP, Benson Neoh Kah Wei turut sertai Operasi Forensik Sampah MBSP dan sidang media bersama-sama Mooi Lye menjelang tengah hari tadi.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB