Dasar asing sisa di punca, kakitangan MPSP mesti jadi teladan – YDP

Admin

BERTAM – Kira-kira 5,000 kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mesti menjadi contoh teladan dengan melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di kawasan kediaman masing-masing, sebelum ia (dasar tersebut) mula dikuatkuasakan 1 Jun ini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, pihaknya akan memulakan pemeriksaan ke atas kediaman milik kakitangan MPSP di bahagian Seberang Perai terlebih dahulu berdasarkan data alamat rumah yang pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan sedia ada.

“Sebelum ini, kita memang ada membuat pemeriksaan rumah semua ketua-ketua jabatan (MPSP), dan saya boleh memastikan bahawa semua daripada mereka memang melaksanakan amalan pengasingan sisa di punca.

“Kita percaya perubahan bermula daripada diri sendiri, maka, saya nak 5,000 kakitangan khususnya yang tinggal di Seberang Perai menjadi ejen perubahan dengan melaksanakan dasar ini.

“Mana-mana kakitangan yang duduk di Seberang Perai, kita (MPSP) akan tengok alamat rumah mereka dan akan membuat pemeriksaan serentak dengan pelaksanaan kerja-kerja kutipan sisa di kawasan kediaman masiing-masing,” jelasnya kepada pemberita, selepas berucap pada Majlis Penghargaan Pesara 2017 Dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 di sini baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota turut berucap dan merasmikan dwi acara tahunan tersebut.

Seramai 221 penerima APC, pesara berwajib (48), pesara pilihan sendiri (23) dan waris kakitangan MPSP yang meninggal dunia (13) diraikan dalam majlis berkaitan.

Menurut Maimunah, MPSP mulai 1 Jun ini akan memberi kompaun maksimum RM250 bagi tiap-tiap pihak yang dikenal pasti gagal melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dekat premis masingmasing.

“Hampir setahun sejak 1 Jun tahun lepas lagi, pelbagai program telahpun dilaksanakan sebelum Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bakal dikuatkuasakan 1 Jun ini (2017).

“Kalau program kesedaran dan kempen kitar semula, kita (MPSP) telah laksanakan sejak 2009,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Maimunah memberitahu, MPSP dalam tempoh bulan Ogos hingga 9 Disember tahun lepas sahaja telahpun mengeluarkan sebanyak 9,446 Notis Pemberitahuan kepada pemilik premis yang didapati tidak mengasingkan sisa di punca.

Malah, tambah beliau, MPSP dalam tempoh 1 Januari sehingga 17 Mac lalu direkodkan mengeluarkan 5,836 Notis Pemberitahuan kepada mereka yang gagal melaksanakan ‘amalan hijau’ tersebut.

“Notis Pemberitahuan ini adalah nasihat kepada mereka yang gagal mengasingkan sisa di punca di premis masing-masing, tapi selepas 1 Jun (2017) ini, kompaun akan dikeluarkan,” jelas Maimunah.