Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Dasar Cekap, Akauntabel, Telus (CAT) yang menerajui pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang menjadi antara penyumbang utama peningkatan hasil perikanan sehingga sembilan kali ganda pada 2015 berbanding tahun 2006 di bawah Barisan Nasional (BN).
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian sambil merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Ismail Abu Hassan pada 25 Oktober lalu berhubung statistik industri ikan sangkar di Pulau Pinang.
“Walaupun terdapat sedikit percanggahan statistik dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, namun, rumusan dari kenyataankenyataan tersebut jelas menunjukkan terdapat peningkatan hasil tangkapan dan juga bilangan pengusaha ikan sangkar selepas tahun 2008.
“Saya tidak tahu mana satu (kenyataan) yang betul kerana kedua-duanya daripada sumber yang sama iaitu Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), (tetapi) yang ingin saya tekankan di sini, kedua-dua kenyataan tersebut menunjukkan penurunan mendadak bilangan pengusaha (ikan sangkar) dari tahun 2001 sehingga 2007, dan pertambahan mula berlaku sejak Pakatan Harapan mengambil alih iaitu dari tahun 2008 sehingga kini.
“Misalnya, statistik daripada DOF menunjukkan penurunan mendadak bilangan pengusaha (ikan sangkar) dari tahun 2001 sehingga 2007 dan pertambahan mula berlaku sejak Pakatan Harapan mengambil alih iaitu dari tahun 2008 sehingga kini, ” katanya pada sidang media di sini pada 26 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Afif memberitahu bahawa dasar CAT yang menekankan amalan bebas rasuah, tiada istilah ‘orang tengah’, kroni mahupun proksi termasuk dalam urusan mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) bagi tujuan membina sangkar ikan menjadi faktor penyumbang peningkatan hasil perikanan.
“Malah, saya juga berbangga kerana kenyataan mereka (Tajuddin dan Chang Yeow) turut memberikan promosi yang amat baik bagi industri akuakultur di Pulau Pinang.
“Mereka sendiri akui (melalui kenyataan) bahawa memang di bawah Pakatan Harapan, berlaku satu kejayaan yang memberangsangkan dan ia (pengakuan tersebut) merupakan suatu pengiktirafan untuk rakyat Pulau Pinang… Kerajaan Negeri hanya memudah cara sahaja,” ujar beliau.
d.getElementsByTagName(‘head’)[0].appendChild(s);