Datuk Bandar MBPP mohon peniaga, penjaja divaksin segera

GEORGE TOWN – Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang memohon Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) supaya memberi perhatian kepada golongan penjaja dan peniaga kecil di negeri yang masih belum divaksin.

 

Menurut Tung Seang, pihaknya kini sedang berusaha untuk mendapatkan vaksin kepada semua penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut. 

 

AR. Yew Tung Seang.

 

“Semalam, di bahagian Seberang Perai (melibatkan Majlis Bandaraya Seberang Perai, MBSP) seramai 1,000 lebih penjaja dan peniaga kecil telah menerima vaksin.

 

“Namun, di bahagian pulau (membabitkan MBPP) masih belum (menerima vaksin).

 

Oleh itu, saya memohon JKNPP agar memberi perhatian kepada golongan penjaja dan peniaga kecil di bahagian pulau juga.

 

“(Dan) dalam masa sama, saya ingin memohon bantuan daripada Exco (Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo) untuk membantu mendapatkan janji temu sesegera mungkin,” ujarnya pada sidang media yang diadakan secara langsung menerusi Facebook pada pagi ini.

 

Terdahulu, Jagdeep yang turut hadir dalam sidang media itu, memberitahu bahawa golongan penjaja dan peniaga kecil di negeri ini juga perlu divaksinkan terlebih dahulu.

 

Hal ini, menurut Jagdeep, adalah rentetan daripada pengumuman khas bertarikh 8 Ogos 2021 yang memberi kemudahan kepada mereka yang telah menerima vaksin lengkap untuk makan di dalam premis atau ‘dine-in’.

 

“Di Pulau Pinang terdapat seramai 17,584 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar yang mana 7,057 penjaja dan peniaga adalah di bahagian Pulau manakala di Seberang Perai (10,527).

 

(Dan) daripada jumlah tersebut, 6,439 individu telah divaksinkan, manakala belum divaksin (10,330) dan tiada maklumat (815).

 

“Sebelum ini, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) telah menghantar senarai  penjaja dan peniaga kecil yang perlu diberikan vaksin segera bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan dan menjana pendapatan.

 

JAGDEEP Singh Deo.

 

“Oleh itu, saya merayu kepada pihak berkaitan supaya segera menghantar bekalan vaksin ke Pulau Pinang dan Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk bantu menjayakan program imunisasi ini,” jelasnya yang turut menggalakkan penjaja dan peniaga kecil lain mendapatkan vaksin segera.

 

Semalam, kumpulan pertama daripada 1,353 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar melalui Program Vaksin Peniaga Seberang Perai telah menerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SP Arena dekat Seberang Jaya.

 

Program tersebut, yang turut dilaksanakan oleh MBPP di bahagian Pulau, adalah sebagai langkah mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil serta pengunjung di samping memastikan keselamatan dan kesihatan awam terus dijaga.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memaklumkan seramai 5,925 pegawai dan kakitangan di kedua-dua PBT (MBPP dan MBSP) telah menerima vaksin daripada jumlah keseluruhan 7,008 orang. 

 

“Seramai 266 orang belum divaksinkan tetapi telah menerima tarikh janji temu dan 732 yang lain masih menunggu tarikh janji temu,” katanya.

 

Usai sidang media, Jagdeep menyempurnakan penyerahan bantuan bakul makanan kepada ‘wira kuning’ di hadapan bangunan Dewan Bandaraya dekat Jalan Padang Kota Lama di sini.

 

Turut serta, Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Kerajaan Tempatan, Nur ‘Aishah Md. Norodin.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KON KUAN