Datuk Bandar MBSP adakan kunjungan hormat sulung ke atas Ketua Menteri

Admin
whatsapp image 2024 07 04 at 09.29.14

GEORGE TOWN – Pembersihan, kewangan dan penguatkuasaan merupakan antara tiga fokus utama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Baderul Amin Abdul Hamid yang baharu dilantik pada 26 Jun lalu.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Baderul Amin ketika mengadakan kunjungan hormat sulung terhadap Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini sebentar tadi.

Semasa pertemuan berlangsung, Baderul Amin yang diiringi Pengarah Korporat di Jabatan Korporat MBSP, Wan Junaidy Yahaya memberitahu bahawa beliau akan berpegang pada konsep ‘Back to Basic’ dalam melaksanakan tanggungjawab yang digalas.

Hal ini, menurut beliau adalah termasuk dalam aspek perancangan dan pengurusan bandar di Seberang Perai serta hala tuju masa depan.

Selain itu, turut dibangkitkan adalah mengenai kompleks makanan dan penjaja, keselamatan, cukai dan hasil serta beberapa isu dalaman seperti kakitangan dan pensijilan.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengambil kesempatan menzahirkan ucapan tahniah atas pelantikan sebagai Datuk Bandar dan berharap Baderul Amin dapat menyuntik semangat baharu untuk terus meneraju prestasi dan pencapaian cemerlang Seberang Perai pada masa hadapan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI