Datuk Bandar MBSP bakal galas tanggungjawab baru di SUK Melaka

Admin
83315f84 369b 4631 b4aa 0d01b35b84bc

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad di Komtar sebentar tadi.

Semasa kunjungan tersebut, selain membincangkan beberapa perkara lain, beliau turut mengimbas kembali tempoh perkhidmatannya di Pulau Pinang selama lebih lima tahun.

“Saya amat berbesar hati dapat berkhidmat dan mencurah bakti di Pulau Pinang selama ini, di samping telah mentadbir Seberang Perai sewajarnya untuk menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbaik.

“(Dan) tidak dilupakan adalah pelbagai cabaran yang berjaya diharungi, malah saya juga bersyukur mempunyai seramai lebih 4,000 kakitangan yang sangat berdedikasi mencurahkan bakti demi kepentingan masyarakat di Seberang Perai.

“Justeru, diharapkan pimpinan seterusnya berupaya mengekalkan momentum kecemerlangan, komitmen serta mempunyai agenda yang lebih luas dan terancang,” ujarnya sambil merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow dan barisan kepimpinan negeri yang banyak membantu dalam sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Azhar dinaikkan pangkat dan bakal memulakan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka pada 24 Jun ini.

Sebelum ini, beliau merupakan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum menjadi Datuk Bandar bagi MBSP.

11229328 293d 4059 aba3 6fe5083f1026

f091f31f df09 432b 97da 75afe735d465
KETUA Menteri merakam momen kenang-kenangan bersama-sama Dato’ Azhar Arshad sebentar tadi.

Pada kesempatan itu, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih atas khidmat bakti, dan mengucapkan selamat maju jaya kepada Azhar.

Selamat bertugas dan berkhidmat di tempat baru.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN