Datuk Bandar MBSP hasrat anjur pertandingan galak taman perumahan, kampung wujudkan pusat kitar semula

Admin
img 7186 DATUK Bandar MBSP (lima dari kiri) menyempurnakan acara perasmian Pusat Kitar Semula dekat perkarangan Surau Al-Muhsinin Taman Sepadu di sini pada 6 Januari 2023.

PERMATANG BERANGAN – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arshad berhasrat menganjurkan Anugerah Kitar Semula pada peringkat yaman perumahan dan kampung bagi menggalakkan penduduk lokal menubuhkan pusat kitar semula seperti yang dilakukan oleh anggota jemaah Surau Al-Muhsinin Taman Sepadu di sini.

“Sehingga kini terdapat 10 pusat kitar semula di (Daerah) Seberang Perai Utara (SPU) termasuk di Surau Al-Muhsinin Taman Sepadu di sini; 20 pusat kitar semula di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT); dan lapan pusat kitar semula di Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

“(Dan) untuk mewujudkan lebih banyak lagi pusat-pusat kitar semula, kalau boleh di setiap taman perumahan dan kawasan yang ada penduduk, akan diwujudkan pusat kitar semula.

“(Justeru,) kita akan menganjurkan pertandingan yang berkaitan dengan kitar semula, umpamanya pusat kitar semula yang mana paling banyak kumpulkan barangan yang boleh dikitar semula, kita akan berikan hadiah, pengiktirafan, sijil dan sebagainya,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau berkata, amalan kitar semula dan pengasingan kitar semula di punca yang diamalkan peringkat komuniti lokal sebenarnya sangat membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) memanjangkan hayat tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.

“Memandangkan jumlah sampah harian yang dihantar ke Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung tahun demi tahun kian bertambah, selari dengan pertambahan penduduk, maka amalan kitar semula dilihat sebagai suatu amalan yang bagus untuk melambatkan penggunaaan sumber-sumber semula jadi di sekeliling kita,” ujarnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengalu-alukan penduduk Seberang Perai untuk melawat Unit Upcycle MBSP dekat Bertam bagi melihat sendiri bagaimana anggota PBT di sana menukar barangan yang boleh dikitar semula menjadi suatu barang lain yang mempunyai nilai guna baharu.

Berucap sebelum itu, Pengerusi Jawatankuasa Penaja Surau Al-Muhsinin Taman Sepadu, Datuk Khalid Ahmad memberitahu bahawa struktur binaan surau tersebut juga sebahagiannya menggunakan bahan kitar semula dari kilang dan sebagainya.

Buletin Mutiara difahamkan, surau tersebut asalnya dibina sebagai balai penduduk tempatan pada tahun 2019, dijadikan tempat solat jemaah tempatan semasa pandemik COVID-19, lalu diiktiraf sebagai surau oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada tahun lepas.

Ahli Majlis MBSP, Omar Abdul Hamid yang juga Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugur antara pemimpin negeri yang turut serta dalam majlis tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB