SEBERANG JAYA – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud hari ini menerima Anugerah Productivity Champion Negeri Pulau Pinang bagi kategori kepemimpinan.
Semasa mengumumkan perkara itu, Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman memberitahu bahawa pemberian anugerah tertinggi tersebut adalah sebagai salah satu penghargaan atas penglibatan dan komitmen dalam meningkatkan mutu produktiviti dan daya saing dalam sektor perkhidmatan awam di negeri ini.
Beliau memberitahu bahawa inisiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berjaya dilaksanakan seperti MBSPpay; penubuhan pasukan ‘Tanya Saya’; pembukaan Cyber Counter Corner untuk melatih orang awam membuat transaksi secara dalam talian; penubuhan Seberang Perai City Channel (SPCC); penyediaan sistem ‘Scan, Park & Pay’; penganjuran Cabutan Bertuah Cukai taksiran serta penggunaan Cyber Bill melibatkan 72,227 pemilik akaun pembayar cukai taksiran melayakkan Rozali diberikan anugerah paling tinggi yang diwujudkan oleh agensi persekutuan tersebut.
“Kesemua inisiatif ini merupakan suatu perubahan yang dilakukan oleh kepimpinan Rozali bagi menambah baik lagi mutu produktiviti dalam perkhidmatan awam, seterusnya menggalakkan masyarakat bandar raya Seberang Perai untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi digital.
“Saya percaya bahawa Yang Berbahagia Datuk Bandar (Rozali) senantiasa berusaha melaksanakan pendekatan ‘Behavioral Insight’ dan pendekatan kemanusiaan dengan matlamat utama iaitu meningkatkan keterlibatan dengan rakyat bagi menambah baik perkhidmatan awam kepada rakyat,” jelasnya pada majlis ringkas di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 23 April 2021.
Timbalan Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail; Pengarah Wilayah Utara MPC, Dr. Mazrina Mohamed Ibramsah; Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-ahli Majlis serta Ketua-ketua Jabatan bagi PBT berkenaan turut menyaksikan acara tersebut.
Selain penyampian anugerah kepada Rozali, Abdul Latif turut menyerahkan Sijil Amalan Persekitaran Berkualiti (5S) kepada MBSP.
Difahamkan, pelaksanaan Audit Pensijilan Semula 5S oleh MPC menyaksikan MBSP memperoleh Dua Bintang pada tahun 2018.
Bagi tahun 2019 pula, PBT tersebut mendapat penarafan Tiga Bintang iaitu iaitu pencapaian tertinggi dalam kelompok berkaitan; dan mengekalkan taraf paling tinggi itu pada tahun lepas.
Berucap kemudiannya, Rozali merakamkan penghargaan kepada MPC dan MPC Wilayah Utara kerana terus memberikan panduan serta tunjuk ajar demi meningkatkan mutu perkhidmatan awam di MBSP.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR