Paduka tertarik menyaksikan resepsi yang dipersembahkan pada satu majlis di
Bukit Bendera. Daulat Tuanku.
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerima penghormatan tertinggi dari Istana Negara apabila Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah sudi mencemar duli berangkat melakukan lawatan rasmi selama dua hari ke Pulau Pinang.
Ketibaan Seri Paduka berdua di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas pada jam 10.20 pagi, 24 Jun 2011 disambut oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majmor Sharif serta diiringi oleh pemimpin-pemimpin negeri termasuk Ketua Menteri, Tuan Lim Guan Eng.
Seri Paduka kemudian beristirehat di Hotel Equatorial, Bukit Jambul, sebelum berkenan berangkat menunaikan solat fardhu Jumaat bersama-sama rakyat di Masjid Negeri Pulau Pinang.
Pada sebelah tengah hari pula, Seri Paduka berdua telah berangkat telah berkenan merasmikan kompleks pendidikan Maahad Al-Mashoor Al-Islami di Balik Pulau.
Abbas (kiri sekali) dan Ketua Menteri (kanan sekali) berdiri tegap
apabila lagu kebangsaan didendangkan pada Majlis Santapan
Menjunjung Kasih Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Grand Ball
Room, Hotel Equatorial.
Pada malamnya pula, satu Majlis Santapan Menjunjung Kasih Kerajaan Negeri Pulau Pinang diadakan di Grand Ball Room, Hotel Equatorial, Bukit Jambul. Majlis berkenaan turut dihadiri Abdul Rahman, Guan Eng dan isteri masing-masing.
Pada keesokannya, Seri Paduka berkenan merasmikan Kelab Al-Khamsa Endurance Club di Taman Perbandaran Pulau Pinang, sebelum bersama-sama Raja Permaisuri berkenan berangkat menaiki Bukit Bendera.
memerhatikan seorang wanita menyiapkan lukisan
mehndi di Bukit Bendera.
Lawatan Seri Paduka berdua adalah yang pertama di bawah penggal pertama kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Sebelum berangkat pulang, Tuanku Mizan Zainal dan Tuanku Nur Zahirah juga berkenan menghadiri majlis santapan tengah hari di kediaman rasmi Yang Dipertua Negeri di Seri Mutiara.