Daya tahan, pulih cepat lakukan terbaik untuk masa hadapan

DIRAMALKAN pertumbuhan sektor pelancongan di negeri Pulau Pinang berpotensi menarik kehadiran lebih ramai pelancong luar sekali gus memacu sektor pelancongan ke tahap yang lebih tinggi.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, WONG HON WAI berkata demikian dalam sesi wawancara khas baru-baru ini bersama-sama Buletin Mutiara di pejabat beliau di Komtar.

Mengulas lanjut, Hon Wai memberitahu bahawa sektor pelancongan di Pulau Pinang bakal mencapai tahap baharu pada tahun-tahun mendatang dek kondisinya adalah semakin bertambah baik dan kukuh.

“Di samping itu, terdapat juga hotel-hotel baharu yang masih dalam proses pembinaan, tidak lupa juga hotel yang pernah ditutup semasa pandemik lalu kini dibuka semula dan pulih dari kemelesetan ekonomi.

“Jika dilihat, apabila industri perhotelan semakin berkembang dan telah dibaik pulih, ia menunjukkan kesan yang baik bahawa ekonomi negeri kembali pulih,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Terdahulu, Hon Wai yang juga merupakan graduan jurusan Sains Komputer dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkongsi mengenai minatnya terhadap dunia politik.

“Saya meminati bidang politik sejak zaman belajar lagi, tidak dinafikan jurusan yang saya pelajari agak membosankan sehingga boleh ‘curi-curi’ masuk kelas jurusan (Sains Sosial) dek lebih menarik.

“Untuk pengetahuan juga, saya dibesarkan di persekitaran rumah flat dan sejak kecil memang telah didedahkan dengan mengikuti ceramah politik kemudian mula meminati (berkaitan politik) ketika berusia 17 tahun.

“Setelah melanjutkan pelajaran, minat saya tidak hanya terhenti dek mempelajari jurusan berlainan, bahkan saya mengambil langkah menghubungi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kuala Lumpur lalu berhubung dengan Tan Sri Lim Kit Siang untuk melihat sendiri sesi perbahasan beliau dari galeri awam di Parlimen,” kongsinya lanjut.

Selain itu, tidak lama kemudian menjelang tahun 1997, Hon Wai secara rasminya menyertai parti berkaitan dan berkesempatan menamatkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Perundangan di Universiti Malaya (UM) serta turut memperoleh Sijil Amalan Undang-Undang (CLP) pada tahun 2005.

“Seingat saya, dulu saya merupakan ejen pilihan raya bagi calon Ketua Menteri semasa ini iaitu Tuan Chow Kon Yeow, yang pada ketika itu bertanding di Parlimen Tanjong dan DUN Padang Kota pada tahun 1999.
“Kemudian, saya mula bertanding dan memenangi kerusi di Air Itam pada tahun 2008 dan 2013, dan seterusnya memenangi kerusi parlimen Bukit Bendera pada tahun 2018.

“Semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 baru-baru ini pula saya telah bertanding dan memenangi kerusi Paya Terubong dengan majoriti 36,802 undi,” jelasnya lagi.

WONG Hon Wai menunjukkan carta kerja di bawah portfolio Pelancongan dan Ekonomi Kreatif.

Dalam sesi wawancara sama, Hon Wai turut ditanya mengenai satu perkataan yang mampu menggambarkan watak dirinya.

“Jika ditanya perkataan yang sesuai untuk menggambarkan watak diri saya, sudah tentu ia merupakan daya tahan.

“Perjalanan kehidupan saya amat panjang dan penuh dengan pasang surut, kadang-kadang kita berada di atas dan kadang-kadang juga kita di bawah, ketahanan diperlukan untuk memastikan kita dapat bertahan serta pulih dengan cepat daripada kesukaran yang dihadapi.

“Sikap tidak berputus asa amat penting diterapkan dalam diri dan sentiasa belajar dari kegagalan yang dihadapi supaya diri ini lebih gigih berusaha untuk melakukan yang lebih baik untuk masa hadapan,” ceritanya.

Bagi Hon Wai, amanat dan tanggungjawab yang telah diberikan sebagai salah seorang barisan kepimpinan Kerajaan Negeri tidak akan disia-siakan, bahkan beliau tidak akan henti berusaha dan memperbaiki apa yang terkurang.

“Tidak lengkap sesebuah pekerjaan itu tanpa sebarang rintangan, tanggungjawab untuk sentiasa menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah daya tarikan bagi menarik pelancong akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Selain keunikan makanan jalanan di sini, Pulau Pinang juga kaya dengan nilai budaya dan warisan yang menjadi daya tarikan pelancong… buktinya, sepanjang tahun, negeri ini tidak ketinggalan meraikan pelbagai jenis perayaan, program dan acara untuk menggalakkan keharmonian dan semangat perpaduan kaum.

“Antara perayaan yang diraikan di sini termasuklah George Town Festival, Penang International Food Festival (PIFF) dan Penang Hill Festival (PHF) serta banyak lagi,” ulasnya menutup bicara.

Malah, beliau turut menyeru umum untuk lebih menerokai kawasan Seberang Perai yang mempunyai pelbagai ‘hidden gems’.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : ALISSALA THIAN