Defisit meningkat kerana laksana pelbagai program prihatin rakyat – Kon Yeow

Admin
img 20240527 wa0020

GEORGE TOWN – Peningkatan defisit dalam bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah berpunca daripada pelaksanaan pelbagai program dan projek yang memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa semua program dan projek yang dilaksanakan itu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat prihatin terhadap keperluan serta kehendak penduduk di negeri ini.

“Perbelanjaan terbesar dalam bajet negeri adalah bagi program i-Sejahtera yang merangkumi sumbangan kepada warga emas dan waris, ibu tunggal dan waris, anak emas serta ibu emas.

“Sehingga 30 April 2024, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM49.80 juta bagi tujuan ini.

“Selain itu, Kerajaan Negeri masih meneruskan bantuan kepada pemandu teksi, operator bas sekolah dan penarik beca yang berdaftar dengan anggaran perbelanjaan hampir RM80 juta pada tahun 2024,” katanya.

Beliau demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat bangunan Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri turut menyumbang dalam caruman tahunan kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri sebanyak RM240 juta bagi menampung pelaksanaan projek-projek pembangunan negeri.

“Selain itu, elaun-elaun kepada pegawai-pegawai masjid, Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) dan Jawatankuasa Pembangunan Belia Pulau Pinang (JBPP) masih disalurkan berjumlah RM15.25 juta.

“Sumbangan tahunan kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Cina, Sekolah Tamil dan Sekolah Mubaligh juga disalurkan sebanyak RM15 juta di samping program-program rasmi negeri pada nilai purata RM3 juta setahun,” ujarnya.

Kon Yeow memberitahu bahawa menyedari bahawa rizab negeri akan digunakan bagi menampung unjuran defisit, Kerajaan Negeri telah meluluskan pelaksanaan ‘Strategi Pengurangan Unjuran Defisit Negeri Tahun 2024’ yang melibatkan beberapa langkah proaktif.

“Antaranya adalah dengan melaksanakan penjajaran semula Bajet Mengurus Negeri Tahun 2024 daripada RM1.047 bilion kepada RM863.11 juta di samping memberi keutamaan kepada perbelanjaan berkanun berbanding perbelanjaan tidak berkanun negeri.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga melaksanakan sekatan perbelanjaan ke atas Objek Sebagai (OS) tertentu bagi mengoptimumkan langkah-langkah penjimatan.

“Peruntukan Akaun Amanah atau Kumpulan Wang Amanah juga lebih diutamakan berbanding Peruntukan Mengurus Negeri bagi Jabatan berkaitan serta melipatgandakan usaha dan inisiatif untuk meningkatkan hasil negeri,” katanya.

Menjawab soalan pemberita berkaitan kenaikan gaji penjawat awam seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini, Kon Yeow berkata bahawa peruntukan keseluruhan bagi menampung kenaikan tersebut masih belum dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri.

“Jika kenaikan berkuat kuasa tahun depan, maka Kerajaan Negeri perlu menyediakan suatu peruntukan dalam belanjawan tahun depan bagi tujuan itu,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD