Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan meneruskan hasrat membina tiga lintasan lebuh raya dan satu terowong bawah dasar laut yang keseluruhannya bernilai RM6.3 bilion demi menangani kesesakan menjelang tahun 2020 dengan syarat mendapat kebenaran Penilaian Kesan Alam Sekitar (DEIA) sahaja.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian semasa memeterai perjanjian awalan bersama-sama Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. yang turut disertai oleh China Railway Construction Corporation International (CRCC) dan Beijing Urban Construction Group (BUCG) bagi menjalankan kajian kemungkinan dan kerja-kerja reka bentuk terperinci (FSSD).
“Projek ini adalah tertakluk kepada pematuhan penuh dengan semua kajian DEIA. Sekiranya, ianya tidak diluluskan, Kerajaaan Negeri tidak akan meneruskan mana-mana projek berkenaan dan bayaran sebanyak RM6.3 bilion tidak dibuat melalui tunai, sebaliknya, melalui pertukaran tanah seluas 44 hektar di Tanjung Pinang,” ujar beliau di sini baru-baru ini.
Sebelum itu, Pengerusi Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd., Datuk Zarul Ahmad Zulkifli menjelaskan, FSSD ini sangat penting bagi memastikan projek ini mematuhi semua syarat yang ditetapkan.
“Fasa ini akan mengambil masa lebih kurang satu setengah tahun dan sebaik sahaja ianya siap, kita akan segera memulakan projek-projek yang dirancang,” ujar Zarul Ahmad.
Terdahulu, Kerajaan Negeri pada April lepas mencadangkan penubuhan syarikat pengangkutan bas awam secara percuma di seluruh negeri ini hingga membolehkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dibenarkan membeli serta memiik bas sendiri, namun, menerima reaksi dingin
daripada Kerajaan Pusat.
Ekoran itu, Guan Eng mencadangkan Kerajaan Negeri membayar RM10 juta setiap tahun kepada Kerajaan Pusat supaya perkhidmatan bas awam secara percuma di bawah kendalian Kerajaan Pusat masih boleh direalisasikan, namun, gagal.
Guan Eng berkata, Kerajaan Pusat sejak tahun 2006 hingga sekarang dilihat terus memungkiri janji untuk membina sistem pengangkutan monorel di negeri ini.
Tuntas itu, Guan Eng mencadangkan Pelan Pengangkutan Induk Pulau Pinang (PPIPP) dengan membina tiga lintasan lebuh raya dan satu terowong di bawah dasar laut demi menangani kesesakan trafik menjelang tahun 2020.
Dalam perjanjian terbaru yang dimeterai, difahamkan, projek pemajuan membabitkan jalan sepanjang 4.2 kilometer dari Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, dijangka siap pada 2022.
Selain itu, perjanjian projek sama turut membabitkan pemajuan projek dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Bandar Baru Air Itam sepanjang 4.6 kilometer, dijangka siap 2019.
Projek pemajuan lain yang dipersetujui, termasuk, jalan sepanjang 12 kilometer dari Tanjung Bungah ke Teluk Bahang lengkap dengan empat lorong yang dijangka siap 2018.
Manakala, persetujuan bersama mengenai pemajuan projek terowong di bawah dasar laut pula dijangka siap pada tahun 2025.
“Saya turut yakin bahawa projek ini bukan sahaja akan memberi impak yang besar kepada ekonomi Pulau Pinang pada dasarnya, bahkan, akan memberi kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Selain dari peluang pekerjaan, sub kontrak boleh diberikan kepada kontraktor-kontraktor Pulau Pinang dan kontraktor tempatan khususnya, maka, peluang ini harus digunakan sebaiknya bagi membolehkan mereka membida projek-projek seperti ini di dalam dan luar negara selepas ini,” tambah Guan Eng lagi.
Beliau berkata, semua projek tersebut akan memberi pembangunan yang seimbang ke tiga-tiga daerah, iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).
Tambah Guan Eng, konsesi selama 30 tahun akan dibenarkan di terowong bawah dasar laut dengan kadar tol mengikut ketetapan tol baru bagi Jamabatan Kedua Pulau Pinang nanti.