Delegasi kongsi pengalaman & gerak kerja 3 masjid

PUCHONG – Peranan masjid dan surau sekitar negeri Selangor dilihat aktif terutama dalam penganjuran programprogram keagamaan, kemasyarakatan dan ilmiah.

Maklum balas tersebut adalah hasil lawatan kerja delegasi Kerajaan Negeri ke Kerajaan Negeri Selangor di sini baru-baru ini.

Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Rosidi Hussain yang juga merupakan Ahli Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, fungsi masjid dan surau sebagai tumpuan masyarakat Islam untuk mendapat ilmu dan beriadah begitu ketara di Selangor.

“Saya lihat masjid dan surau diimarahkan dengan begitu baik sekali.

“Misalnya, Masjid As-Salam di Puchong Perdana, pengisian dan pengimarahan dilaksanakan membuatkan ia terserlah sebagai mercu tanda di Puchong,” ujarnya sejurus selesai solat Jumaat di sini baru-baru ini.

Rosidi yang mengetuai lawatan kerja delegasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke Selangor baru-baru ini turut berasa kagum dengan kerjasama dan ukhuwah ditonjolkan para pentadbir masjid.

“Saya menerima banyak respon positif daripada jemaah dan masyarakat setempat yang berpusu-pusu mengunjungi masjid kerana teruja dengan aktiviti serta program-program keagamaan yang dianjurkan.

“Saya percaya ini adalah cabaran untuk Pulau Pinang dalam menggerakkan dan bangunkan kembali peranan masjid sebagai pusat komuniti masyarakat Islam,” ujar beliau.

Turut serta dalam solat Jumaat tersebut Nazir Masjid As-Salam, Yasim Mohamed.

Mengulas lanjut, Rosidi berterima kasih kepada pentadbiran Masjid As-Salam yang sudi berkongsi pengalaman dan gerak kerja masjid.

“InshaaAllah, masih banyak ruang dan peluang untuk menjadikan masjid sebagai ‘change agent’ dalam masyarakat,” jelasnya.

Selain Masjid As-Salam, delegasi Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri turut melawat dua buah lagi masjid contoh iaitu Masjid Asy-Syarif di Meru dan Masjid al-Ubudiyah di Seksyen 19 Shah Alam.

Sebagai rekod, Masjid As-Salam yang juga dikenali sebagai Masjid Terapung ini telah merangkul Anugerah Masjid Terbaik Seluruh Negeri Selangor dan menjadi model bagi masjid-masjid lain dalam negara terutama pada segi pengisian serta gerak kerja pentadbiran.