Demi keselamatan awam, enam pokok ‘sakit’ dekat Lorong Delima 9 dipangkas -ADUN

SYERLEENA Abdul Rashid menunjukkan gambar fail dahan-dahan yang pernah jatuh dan membahayakan orang ramai sekiranya tidak dicantas dengan baik dalam sidang media semalam.

SERI DELIMA – Pemangkasan dahan enam batang pokok berhampiran Lorong Delima 9 adalah demi keselamatan orang awam, tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid.

Katanya, dalam apa juga keadaan, keselamatan orang ramai diletakkan sebagai keutamaan.

Pokok-pokok yang dipangkas didapati sakit dan perkara ini disahkan oleh pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), di mana pokok tersebut boleh memudaratkan nyawa, kenderaan dan sebagainya.

Jadi demi keselamatan adalah lebih baik ia dicantas, bukan ditebang… namun ada satu petisyen bantahan ditandatangani oleh kira-kira 200 penduduk di situ.

Saya juga telah berjumpa dengan mereka dan perjumpaan tersebut membuahkan keputusan positif,” ujar beliau dalam satu sidang media semalam.

Menurut Syerleena, beliau juga ada bertemu dengan pihak MBPP untuk membincangkan hal berkenaan sebelum memaklumkan kepada penduduk.

Kita pun tak nak menyusahkan MBPP buat kerja pada masa sama penduduk juga perlu memahami situasi tersebut dengan lebih baik,” ujarnya.

Syerleena dalam pada itu turut mengingatkan pengguna yang menggunakan Jalan Delima agar memperlahankan kenderaan dan mematuhi papan tanda jalan.

Keselamatan perlu diutamakan, saya tahu ada juga yang buat aduan tidak berpuas hati dalam pembinaan bonggol jalan tetapi di situ adalah kawasan perumahan maka kenderaan perlu mengurangkan kelajuan,” tegasnya lagi.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD