GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus melaksanakan program-program kebajikan rakyat sungguhpun gabungan parti politik itu bukan lagi menguasai tampuk kuasa Kerajaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan membiayai kira-kira RM4.4 juta projek pembinaan pusat transit gelandangan di atas sebidang tanah milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), dengan keluasan 1,347 meter persegi demi meningkatkan daya huni penduduk bandar raya termasuk golongan terpilih berkenaan.
Beliau yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi berkata bahawa projek perkongsian awam-swasta (PPP) tersebut dijangka siap pada bulan Ogos tahun hadapan dan bakal mula beroperasi pada Januari 2022.
“Di tengah-tengah kemelut politik yang memberi kita (rakyat Pulau Pinang) lihat berapa jijiknya (perancangan) untuk menjatuhkan sebuah Kerajaan (Persekutuan) yang dipilih oleh rakyat.
“Di peringkat Persekutuan, kita (rakyat) melihat sikap dan perangai pemimpin yang tidak menghiraukan mandat rakyat.
“Namun, di Pulau Pinang pada pagi ini, menunjukkan bahawa di sini kita (Kerajaan Negeri) masih komited serta berbesar hati untuk meneruskan kerja kita bagi membantu masyarakat yang terpinggir.
“Ini menunjukkan kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) boleh menginspirasikan negara kita,” katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Pusat Transit Gelandangan No.19 Jalan C. Y. Choy di sini pada 7 Mac 2020.
Turut berucap, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.
Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; ADUN Pengakalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang, Senator Lim Hui Ying dan Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa pelaksanaan projek terbaru tersebut adalah demi merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
“Cadangan pembinaan Pusat Transit Gelandangan ini adalah bertepatan dengan salah satu tema utama Visi (Penang2030) iaitu meningkatkan taraf serta kualiti hidup penduduk, mengembangkan saiz ekonomi, meningkatkan pendapatan isi rumah demi memperkasa rakyat,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan kepada Boon Poh yang mengemukakan cadangan mewujudkan Pusat Transit Gelandangan, melalui program Empowering The Streets Citizens yang dilaksanakan pada tahun 2016.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : LAW SUUN TING