Denda maksimum RM500 jika gagal asing sisa di punca mulai Julai – Exco

Admin
img 0188

SUNGAI BAKAP – Pemilik premis kediaman dan komersil sekitar kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang gagal melaksanakan dasar pengasingan sisa di punca berisiko disaman serta didenda maksimum RM500 mulai bulan Julai ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata demikian dalam sidang media berkaitan seusai merasmikan Kempen Kesedaran Alam Sekitar – ‘Waste To Wealth’ di pasar raya mega C-Mart dekat Taman Tasek Mutiara di sini pada 23 Jun 2024.

“Kita (MBSP dan Majlis Bandar Pulau Pinang, MBPP) boleh mengeluarkan saman maksimum RM500 kepada mana-mana individu atau pihak yang gagal melaksanakan dasar pengasingan sisa di punca,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi sambil memberitahu bahawa dasar itu mula dikuatkuasakan sejak tahun 2016 lagi.

Menurutnya, ketika ini kadar kitar semula di kawasan pentadbiran MBSP mencapai 57.36 peratus dan menyasarkan pada kadar 70 peratus menjelang tahun 2030.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menjelaskan cadangan penggunaan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di negeri Pulau Pinang masih lagi pada peringkat perbincangan dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Terdahulu, Mooi Lye seusai menyertai Operasi Forensik Sampah MBSP di Taman Amansara Setia Fontaines, Kepala Batas di sini pada 27 April lepas mengumumkan penguatkuasaan semula dasar pengasingan sisa di punca mulai 1 Julai 2024.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB