Denda RM200 jika pelihara baka anjing larangan, kata Ahli Majlis MBPP

baka anjing 2 (Dari kiri) BENJI Ang, Quah Boon Lim dan Choong Koon Yean dalam sidang media berkaitan turut melancarkan kempen kesedaran masyarakat berkaitan larangan memelihara baka anjing terlarang, dekat Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perlesenan MBPP dekat Jalan Sungai di sini pada 25 September 2024.

SUNGAI PINANG – Pemilik baka anjing telarang seperti Akita, American Bulldog, Dogo Argentino, Fila Brasileiro, Japanese Tosa, Neapolitan Mastiff dan Pit Bull Terrier (American Pit Bul Terrier, American Pit Bull, American Staffordshire Terrier dan Staffordshire Bull Terrier) akan dikenakan denda RM200, manakala binatang peliharaan itu akan dirampas.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Quah Boon Lim dan Benji Ang Ming Quan berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Presiden Pertubuhan Bantuan Antarabangsa Bagi Perlindungan dan Kebajikan Binatang (IAPWA) Negeri Pulau Pinang, Choong Koon Yean di Pusat Kawalan Vektor dan Veterinar, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Perlesenan MBPP dekat Jalan Sungai di sini pada 25 September 2024.

“Tujuan kempen pendidikan awam ini dilaksanakan kerana anjing terlarang adalah anjing yang dikhuatiri akan menyebabkan kecederaan kepada (orang) awam walaupun dipelihara dengan baik berdasarkan faktor keturunan dan genetik (baka haiwan-haiwan tersebut).

“Majlis (MBPP) tidak akan mengeluarkan sebarang lesen pada permohonan memelihara baka anjing terlarang, dan jika didapati maksudnya pemilik memelihara secara tidak sah.

“Pemilik boleh didenda sebanyak RM200, dan baka anjing telarang boleh dirampas dalam masa dua minggu,” jelasnya lagi.

baka anjing 1
SALINAN lembut (soft copy) poster Kempen Kesedaran Masyarakat Berkaitan Baka Anjing Terlarang.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Boon Lim memberitahu bahawa MBSP dalam tahun ini sahaja menerima lebih 30 aduan berkaitan kes pemeliharaan anjing.

Daripada jumlah itu, menurutnya lagi, terdapat lapan kes orang awam digigit anjing termasuk satu kes membabitkan baka anjing larangan di Bukit Gambir pada bulan Februari lepas.

Dalam sidang media sama, Ming Quan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan Awam MBPP berkata pihaknya mengalu-alukan partisipasi sekalian pemegang taruh demi menjayakan kempen kesedaran masyarakat tersebut.

Di samping itu, beliau turut mengingatkan orang awam yang memelihara anjing berumur lebih dari tiga bulan wajib memohon lesen anjing setiap tahun.

“Yuran pembayaran untuk setiap patil lesen adalah sebanyak RM10 setahun sahaja,” jelasnya sambil memberitahu bahawa permohonan lesen secara atas talian melalui ulesen.mbpp.gov.my.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS