GEORGE TOWN – Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini menerima sumbangan peralatan perubatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Lions Club International Multiple District 308 (Lions Club) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM32,000.
Peralatan perubatan yang disumbangkan merangkumi lapan unit Philip Respironic Oxygen Concentrators.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Lions Club atas sumbangan yang dapat dimanfaatkan bagi perawatan pesakit COVID-19 di HPP.
“Sumbangan ini akan membantu meningkatkan kelengkapan fasiliti kesihatan di HPP kerana kita sekarang berdepan dengan masa sukar ekoran pandemik COVID-19.
“Bergantung kepada jumlah kes aktif, fasiliti kesihatan kita mungkin semakin lemah atau runtuh, justeru adalah amat penting untuk meningkatkan kemudahan sedia ada di HPP.
“Segala derma serta sumbangan pada ketika ini sangat membantu lebih-lebih lagi ketika kita sedang berperang dengan wabak ini,” ujarnya pada majlis penyerahan peralatan perubatan berkenaan dekat perkarangan Komtar di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ooi Chao Syhuan (Pengerusi Lions Council MD308); Datuk Yeoh Moh Chai (District Governor 308B2) dan Dr. K. Vishantini (Ketua Penolong Pengarah Pengurusan HPP).
Dalam pada itu, Chao Syhuan menyatakan bahawa pihak Lions Club telah banyak menghulurkan pelbagai bantuan seperti pelitup muka, pakaian perlindungan diri (PPE) dan bakul-bakul makanan sejak wabak COVID-19 melanda negara.
“Hari ini, usaha murni ini diteruskan dengan sumbangan bantuan peralatan perubatan yang sememangnya sangat diperlukan oleh HPP bagi mendepani ancaman wabak ini,” ulasnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN
Video : LAW SUUN TING