Derma darah demi pesakit anemia, thalassemia – Exco Kesihatan

Admin

SEBERANG JAYA – Kempen derma darah mesti terus disambut oleh orang awam terutama golongan muda-mudi demi membantu para pesakit anemia, thalassemia dan beberapa penyakit lain yang sangat memerlukan darah untuk terus hidup.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin berkata demikian dalam program Kempen Derma Darah Pusat Khidmat Seberang Jaya Bersama-sama Lee Ting San Group di pasar raya mega Mydin Jalan Baru di sini pada 26 Januari 2019.

“Mungkin ramai di sini tidak mengetahui bahawa pada zaman 1960-an dahulu, amat sukar untuk melihat orang awam menderma darah.

“Melalui cerita orang dulu-dulu, betapa sukarnya pesakit di hospital-hospital kerajaan mendapatkan bekalan darah yang mencukupi.

“Pelbagai alasan untuk mengelak daripada beri derma darah…misalnya alasan agama, takut kesihatan terganggu dan alasan tidak boleh menderma kepada orang selain daripada yang sesama agama serta keturunan.

“(Namun,) syukurlah dengan kesedaran ilmu dan sivik pada hari ini, lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya orang muda sudah mahu menderma darah bukan sahaja kepada bukan keluarga mereka, malah aktiviti derma darah ini sudah menjadi rutin masing-masinh.

“(Justeru,) kempen derma darah seperti ini akan membantu masyarakat yang memerlukan terutama dalam kalangan mereka yang mengidap penyakit anemia, thalassemia dan beberapa penyakit yang lain,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis berkaitan.

Tambah Afif, tabiat dan pemikiran masyarakat tidak boleh berubah dengan sendiri, melainkan mesti ada sistem sokongan secara kebendaan untuk mengubah tabiat rakyat.

Contohnya, menurut beliau, apabila dianjurkan program kempen derma, sekaligus akan menyumbang kepada perubahan tabiat rakyat, daripada enggan menderma darah seperti pada era 1960-an dulu; menjadi aktiviti rutin mereka terutama dalam kalangan muda-mudi.

Turut berucap, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Pengarah Urusan Eksekutif Lee Ting San Group, Lee Kah Chye; tiga Pengarah Eksekutif Kumpulan, Mei Lee Hooi, Lee Hooi Ling dan Lee Hooi Jing; Ketua Jabatan Lee Ting San Group, Baidrulhisam Ahmad turut sertai program bertemakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB