BAGAN JERMAL – Kerajaan Negeri Pulau Pinang membenarkan dewan badminton kembali beroperasi mulai 15 Jun ini
Walau bagaimanapun, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee mengingatkan bahawa semua dewan badminton di negeri ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 11:00 malam sahaja.
“Bagi mana-mana premis sukan di bawah seliaan pihak swasta, jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau sekolah, sama ada sukan indoor (dalam dewan) seperti badminton dan ping pong perlu mengisi borang notifikasi pembukaan melalui laman web Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI).
“Begitu juga dengan aktiviti luar seperti ‘qigong’, tarian barisan (line dance) dan lain-lain yang berkaitan perlu melakukan perkara yang sama,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal kepada pemberita semalam.
Mengulas lanjut, Lip Chee menjelaskan bahawa permainan badminton secara beregu masih lagi tidak dibenarkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Ia adalah tertakluk kepada pematuhan tatacara operasi standard (SOP) yang digariskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru kepada semua pengusaha kemudahan sukan agar mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan yang mana setiap individu yang menggunakan kemudahan mereka perlu mengimbas kod QR PGCare atau MySejahtera selain menjalani saringan suhu badan serta menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan.
“Di samping itu, operator perlu memastikan jarak sosial dilaksanakan semasa membuat penyusunan tempat duduk di kawasan rehat.
“Pengusaha-pengusaha dewan badminton juga disarankan supaya mensanitasi premis sebelum memulakan operasi setiap hari tanpa caj tambahan dikenakan kepada pengguna dan penyewa gelanggang badminton.
“Kalau boleh, kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas berumur 60 tahun ke atas adalah tidak digalakkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sukan indoor,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan semua pengusaha kemudahan sukan bahawa pembukaan aktiviti-aktiviti sukan adalah hanya untuk warganegara Malaysia sahaja.
“Sekiranya pengusaha didapati membenarkan warga asing untuk memasuki premis-premis ini, maka mereka perlu menanggung segala risikonya,” tegasnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN