Dewan Bandaraya bakal dibaik pulih mulai April 2025

Admin
img 8255

GEORGE TOWN – Bangunan ikonik Dewan Bandaraya Pulau Pinang yang terletak di Jalan Padang Kota Lama dijadualkan menjalani kerja-kerja membaik pulih pada April tahun hadapan.

 

 

 

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, kerja-kerja pemulihan tersebut adalah sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan berterusan oleh pihak berkuasa tempatan itu dalam memelihara struktur warisan bangunan.

 

 

 

“Kerja-kerja membaik pulih dianggarkan mencecah RM20 juta.

 

 

 

“Ini menandakan pemulihan kali kedua selepas kali pertama dilakukan pada tahun 2011,” ujarnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaraya di sini pagi ini.

 

 

 

Menurut Rajendran, kerja-kerja membaik pulih ini perlu kerana terdapat kebocoran dalaman yang telah membawa serangan serangga perosak seperti anai-anai dalam struktur bangunan.

 

 

 

Setelah meneliti tahap kerosakan, adalah penting untuk kita (MBPP) segera menangani isu ini bagi mengelakkan berlakunya kerosakan yang lebih besar pada masa hadapan.

 

 

 

“Kita menjangkakan kerja-kerja membaik pulih ini akan mengambil masa sehingga dua tahun untuk disiapkan.

 

 

 

“(Dan) dalam tempoh tersebut, semua mesyuarat majlis akan dipindahkan sementara ke Komtar,” jelasnya.

 

 

 

Dibina pada tahun 1903, Dewan Bandaraya Pulau Pinang merupakan mercu tanda era kolonial yang masih kekal terpelihara sehingga ke hari ini dan amat terkenal dalam kalangan pelancong luar. Bukan sahaja mempunyai susur sejarah yang penting, bangunan tersebut juga merupakan salah satu bangunan perbandaran tertua di negara ini.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD