Dewan dan gelanggang takraw di Taman Cantek

Admin

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

BAGANTaraf infrastruktur Taman Cantek di sini bakal ditingkatkan dengan pembiayaan sebuah dewan dan gelanggang sepak takraw bernilai RM110,000 untuk kemudahan penduduk di sini.

Pembinaan dewan dan gelanggang tersebut adalah bagi menggantikan struktur sebelum ini yang telah rosak dan terbiar untuk tempoh masa yang agak lama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal yang juga Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng berkata, dewan yang dibina sebelum ini adalah hasil kutipan amal masyarakat berketurunan India di taman ini.

“Kini, untuk kemudahan semua, Kerajaan Negeri bakal membiayai pembinaan dewan baru berhadapan Persatuan Penganut Dewa Sri Guru Ragavendirar untuk dijadikan kelas-kelas tuisyen.

“Manakala, gelanggang sepak takraw di sebelahnya adalah untuk aktiviti sukan tradisional penduduk dan majlis kenduri juga dapat dijalankan,’’ katanya pada lawatan khas ke lokasi dewan di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng bersama isteri, Betty Chew Gek Cheng dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Menurut Guan Eng, beliau pernah hadir di Taman Cantek sekitar lima tahun lalu, tetapi suasana di taman itu tidak ‘secantik’ namanya.

“Taman yang namanya Cantek, sekurangkurangnya ia mesti cantik.

“Sebab itu, projek utama yang Kerajaan Negeri buat ialah untuk buat satu taman hijau, iaitu Tugu Demokrasi depan Taman Cantek yang telah dibina sekitar setahun lalu,’’ jelasnya.

Taman Tugu Demokrasi merupakan antara taman tercantik di Pulau Pinang dengan kos keseluruhan bernilai RM700,000 dibiayai syarikat swasta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).