BAYAN BARU – Syarikat logistik terkemuka, DHL melihat Pulau Pinang sebagai lokasi pelaburan terbaik untuk mempertingkatkan rangkaian bekalan berdaya saing mereka.
Berlandaskan potensi tersebut, DHL buat julung kalinya telah melancarkan persidangan teknologi di negeri hari ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman berkata, Kerajaan Negeri berharap pelaburan tersebut akan membantu rakyat dan perniagaan antarabangsa di Malaysia mempertingkatkan kefahaman mereka berkenaan pengurusan rangkaian bekalan serta mengimplementasi inovasi yang lebih baik dalam mempertingkatkan persaingan di arena global.
“Umumnya, kegiatan pelaburan ini penting untuk terus meletakkan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa dan menjadi destinasi pelaburan terbaik,’’ katanya pada majlis pelancaran persidangan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ‘Northern Corridor Implementation Authority’ (NCIA), Datuk Redza Rafiq menyatakan bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) mengendalikan urusan import eksport sebanyak dua kali ganda dari Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA).
“Pulau Pinang juga merupakan negeri pelabuhan halal kedua di dunia selepas Rotterdam, Netherlands.
Justeru, kita patut menghargainya,” ujar beliau.