Dialog peniaga medan selera capai solusi terbaik

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

MOHAMED Hussain Mohd. Sheriff (empat dari kanan) menceritakan permasalahan para penjaja Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama kepada Abdul Malik Abul Kassim (dua dari kanan) pada sesi dialog khas yang diadakan di sini baru-baru ini.
MOHAMED Hussain Mohd. Sheriff (empat dari kanan) menceritakan permasalahan para penjaja Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama kepada Abdul Malik Abul Kassim (dua dari kanan) pada sesi dialog khas yang diadakan di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN – Berpandukan aduan pengguna terhadap harga makanan tinggi di Kompleks Medan Renong, Padang Kota Lama di sini, satu dialog khas telah diadakan antara Kerajaan Negeri bersama persatuan penjaja kompleks berkenaan di sini baru-baru ini.

Kerajaan Negeri yang diwakili Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malik Abul Kassim menyatakan bahawa sesi dialog tersebut bertujuan untuk mengetahui dan mendengar sendiri maklum balas para peniaga ekoran rungutan pengunjung diterimanya.

“Saya ada menerima beberapa rungutan tentang harga makanan yang terlampau tinggi dan tahap kebersihan di sini (medan selera) kurang memuaskan sejak tiga bulan lalu.

“Justeru, saya di sini bersama Pengarah Jabatan Perkhidmatan, Perbandaran, Kesihatan Awam dan Pelesenan, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Shalehudin Rashid akan mendengar penjelasan kedua-dua pihak agar penyelesaian terbaik dapat dicapai,’’ katanya selepas selesainya sesi dialog di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, persatuan penjaja diwakili pengerusinya, Mohamed Hussain Mohd. Sheriff. Menjelaskan peranan MPPP, menurut Shalehudin bahawa MPPP tidak boleh meminta para peniaga untuk menurunkan harga sebaliknya, menawarkan beberapa opsyen, antaranya, cadangan penyediaan saiz hidangan dan kawalan terhadap penjaja haram di kawasan Kompleks Medan Renong.

“Cuma buat masa ini, kita berharap agar para peniaga dapat memberi sedikit pertimbangan untuk menurunkan sedikit harga sedia ada. Letak harga yang munasabah dan berpatutan dengan saiz hidangan,” ujar Shalehuddin yang turut menyatakan bahawa pihak MPPP cuma mengenakan kadar sewa sekitar RM120 sebulan tanpa melibatkan penggunaan air dan elektrik oleh para peniaga di medan selera tersebut.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan bahawa penggunaan sepenuhnya peti cadangan yang akan ditempatkan di kawasan medan selera tersebut bagi memudahkan para pengunjung untuk mengemukakan aduan.

Bagi Mohamed Hussain, beliau dan persatuan bersedia berunding dengan MPPP dan Kerajaan Negeri dalam mencari alternatif terbaik yang bukan sahaja menguntungkan para peniaga, malah, memberi kepuasan kepada pengunjung.