GEORGE TOWN – Lions Club (LC) of Tanjung Penang meneruskan inisiatif ‘Kempen Pelupusan Ubat Tamat Tempoh Secara Selamat’ dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melupuskan ubat dengan cara lebih selamat.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, inisiatif yang diambil oleh badan bukan kerajaan itu diharap dapat mendidik masyarakat dalam mengendalikan ubat yang tidak digunakan atau sudah tamat tempoh.
“Saya berharap (melalui kempen ini) akan memberi manfaat dan mendapat sambutan umum terutama dalam mengubah sikap masyarakat ketika melupuskan ubat tamat tempoh.
“Saya difahamkan, kempen ini akan diteruskan selama tiga bulan bermula hari ini (15 Mac) dan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai pihak,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di Komtar pada 15 Mac 2024.
Dalam pada itu, Presiden LC of Tanjung Penang, Datuk Dr. Tan Kah Keong yang turut hadir pada sidang media berkaitan memberitahu bahawa matlamat utama kempen tersebut adalah meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya melupuskan ubat-ubatan yang telah tamat tempoh di tempat awam.
“Kebanyakan orang pernah menerima ubat-ubatan daripada doktor, akan tetapi ada juga tidak pernah menghabiskan ubat tersebut dan akhirnya dibuang ke dalam tong sampah ataupun saliran air melalui tandas.
“Ini akan menyebabkan kandungan yang ada dalam ubat tersebut memasuki sistem saliran air dan mampu menjejaskan hidupan akuatik serta berpotensi untuk mengancam kesihatan manusia.
“Maka, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran orang ramai tetapi juga menyumbang terhadap persekitaran yang lebih sihat dan bersih,” katanya yang turut berkolaborasi dengan beberapa badan bukan kerajaan lain dalam menjayakan kempen tersebut.
Tambahnya lagi, sebanyak 100 kotak pelupusan ubat terpakai akan diletakkan di tempat-tempat yang telah dipersetujui seperti di Hospital Pulau Pinang; premis Persatuan Perubatan Malaysia (MMA); Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM) dan beberapa klinik swasta serta farmasi di seluruh Pulau Pinang.
Difahamkan, ubat-ubatan yang dibuang seperti ubat berbentuk pil, cecair atau krim akan dibakar mengikut proses yang telah ditetapkan.
Barang-barang seperti jarum, picagari, bekas tajam, aerosol atau penyedut dos bermeter adalah tidak dibenarkan untuk dimasukkan ke dalam kotak pelupusan.
Oleh : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY
Gambar : M. TANUSHALINI