Oleh : YAP LEE YING
Gambar : IDZHAM AHMAD
ORANGNYA agak pemalu dan lemah-lembut, percakapannya juga penuh budi bahasa. Bagi penulis, semangat pemuda berusia 28 tahun yang tidak pernah berasa segan dengan profesionnya perlu dijadikan teladan bersama.
Lawatan Skuad Jalan-jalan Buletin Mutiara ke kandang kambingnya di Kampung Matahari Jatuh, Teluk Kumbar disambut dengan begitu mesra oleh beliau dan juga seisi keluarga.
Ketika memulakan perbualan, Mohammad Safiyudin Shavukath Ali atau lebih mesra dengan panggilan ‘Din’ memberitahu bahawa beliau tidak kisah dengan tanggapan umum terhadap punca rezekinya.
“Saya tidak kisah, orang tak suka pun tak apa, asal saya tidak kacau orang,” jelasnya yang merupakan anak kedua daripada lima adik-beradik.
Minatnya terhadap haiwan disemai sejak kecil lagi, malah, ketika berusia 14 tahun, beliau banyak membantu ayahnya yang ketika itu memelihara kambing secara sambilan.
“Selepas balik dari sekolah, saya akan bagi kambing makan. Saya seronok bermain dengan binatang dan juga jaga mereka (ia).
“Adik-beradik lain tidak minat, mereka belajar tinggi. Justeru, cuma saya yang kini masih meneruskan perusahaan keluarga atas minat,” katanya yang kini menfokuskan kepada ternakan kambing susu iaitu baka Saanen dari Australia.
Berkongsi pengalamannya, Din menyatakan bahawa dalam tempoh empat tahun penglibatan beliau dalam bidang berkaitan, antara cabaran yang dihadapi adalah serangan penyakit yang mana telah mengorbankan 13 ekor kambing peliharaannya.
“Saya masih ingat tarikh tragedi malang itu iaitu pada bulan Ogos 2013. Sangat sedih! Malah, ia turut mengorbankan kambing kesayangan saya, Manja.
“Selepas lapan hari melahirkan anak, Manja tiba-tiba jatuh sakit. Pada malam tersebut, saya tiba di rumah dan ternampak Manja tengah baring dan tidur seakan tidak berdaya. Tidak lama selepas itu ia mati di atas riba saya,” katanya sambil menitiskan air mata.
Din memberitahu, kebiasaannya, penyakit yang sering menyerang ternakan kambing jenis Saanen adalah bengkak payu dara untuk kambing betina, jantan (tidak boleh kencing) dan bagi anak (jangkitan kuman pada paru-paru). Kebiasaannya, kambing-kambing ternakan yang mengalami penyakit sedemikian tidak dapat dirawat dan akan mati.
Dengan modal yang dikumpul sendiri, Din memulakan penternakan kambing susu dengan membeli hanya tiga ekor kambing Saanen yang masing-masing berharga RM3,500.
“Nak beli banyak, tak mampu. Pada peringkat permulaan, memang tiada pengalaman langsung. Saya belajar sendiri,” jelas Din yang sebelum ini pernah bekerja di salah sebuah kilang perindustrian berhampiran.
Menurut beliau, kambing Saanen mampu mengeluarkan banyak susu selepas tempoh dua hingga tiga bulan melahirkan anak. Walaupun susu tersebut turut dibekalkan kepada anak-anak yang dilahirkan, masih terdapat banyak lebihan yang boleh diperah untuk tujuan pemasaran.
“Anak kambing minum sikit-skit sahaja, banyak yang lebih! Malah, saya tidak akan perah susu awal yang mana ia berwarna kekuning-kuningan.
“Bila warna dah putih dan nampak elok, barulah saya mula perah. Selepas perah ke dalam jag, cecair susu akan ditapis menggunakan penapis kain sebelum dibotolkan,” jelasnya.
Pada peringkat awal iaitu empat tahun lalu, Din tidak menafikan bahawa masyarakat masih tidak mengetahui khasiat sebenar susu kambing.
“Saya memang menangis tak tahu nak jual kat mana. Saya doa dan tidak putus asa, usaha juga!
“Ke mana jua saya pergi, saya bawa susu kambing untuk dijual, diperkenalkan khasiatnya, termasuk pasar malam di Bayan Lepas. Malah, sekiranya memperoleh tempahan dari Kulim, saya juga akan menunggang motosikal dan hantar kepada pelanggan.
“Berkat usaha, alhamdulillah, masuk tahun kedua, bekalan sedia ada tidak cukup. Permintaan datang dari merata tempat, sama ada tempahan melalui telefon dan pelanggan-pelanggan yang telah memperoleh manfaat hasil khasiat susu kambing,” ujar Din sambil mengukir senyuman.
Rutin harian Din adalah bermula seawal 8 pagi hingga tengah hari sebelum beliau keluar menghantar tempahan.
“Selepas itu, susu kambing boleh sekali lagi diperah pada waktu petang. Kandang perlu dibersihkan dua kali sehari bagi menjamin kebersihan susu yang dihasilkan serta diperah.
“Sekiranya susu yang dibotolkan disejuk bekukan, ia mampu bertahan selama tiga bulan, suhu biasa peti sejuk dan suhu bilik, empat jam,” jelasnya lanjut.
Bagi perancangan masa depan, Din tidak menafikan bahawa beliau ingin menambah lagi kambing ternakannya yang kini berjumlah lebih 20 ekor.
“Selaras itu, kandang juga perlu diperbesarkan.
“Pada masa sama, adalah menjadi impian saya untuk memiliki sebuah kilang kecil bagi mempelbagaikan lagi perisa susu kambing yang kini hanya berperisa asli dan turut menghasilkan dadih (susu kambing),” katanya yang turut mengusahakan penternakan ayam kampung dan ayam piru.
INFO :
019 – 422 9236 / 017 – 570 2877
} else {