Diskaun sehingga 90 peratus premium tanah demi kebajikan rakyat Pulau Pinang – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Mulai tahun 2023, Kerajaan Negeri akan memberi diskaun premium tanah bagi permohonan pelanjutan tempoh pegangan pajakan (leasehold) dan pemberimilikan yang disebabkan tempoh pegangan telah tamat.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya bersetuju memberi diskuan premium dari serendah 50 peratus hingga 90 peratus yang dinilai atas nilaian tanah semasa sahaja tanpa mengambil kira struktur yang berada di atas tanah tersebut.

“Kadar diskaun premium ini adalah khusus kepada pemilik-pemilik tanah yang ingin melanjutkan tempoh pegangan pajakan tanah mereka.

“Ia, termasuk kepada bekas pemilik-pemilik tanah atau waris mereka yang mana tempoh pegangan pajakan tanah mereka telah tamat.

“Atas pertimbangan faktor sosial dan kepentingan umum, Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan ini demi kebajikan rakyat Pulau Pinang yang layak.

“Kerajaan Negeri berharap pemberian diskaun premium ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pemilik-pemilik tanah ‘leasehold’ di Pulau Pinang selain meredakan keresahan pemilik-pemilik tanah yang mana ada di antaranya telahpun tamat tempoh pajakan seperti di kawasan Bukit Bendera dan beberapa kawasan lain di seluruh negeri,” jelasnya semasa membentangkan cadangan Bajet 2023 Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 21 November 2022.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menjelaskan bahawa pemberian diskaun premium tersebut adalah merangkumi semua kategori kegunaan tanah iaitu pertanian, bangunan dan perindustrian.

“Pemilik-pemilik individu tanah pertanian dan kediaman merupakan kelompok yang bakal menikmati diskaun paling tinggi iaitu sebanyak 90 peratus.

“Manakala, pemilik tanah perniagaan layak menikmati pengurangan premium sebanyak 80 peratus.

“Pemilik-pemilik tanah perindustrian turut layak menikmati diskaun sebanyak 50 peratus dan 75 peratus mengikut kriteria yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Selain itu, Kon Yeow menjelaskan bahawa diskaun atau pengurangan premium berkaitan adalah tertakluk kepada beberapa syarat yang akan diperincikan dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Pulau Pinang.

“Antaranya adalah pengenaan moratorium pindah milik selama sepuluh tahun dari tarikh pendaftaran hakmilik (dan) sekiranya pemilik tanah ingin menjual tanahnya dalam tempoh 10 tahun ini, pemilik tanah akan dikenakan bayaran premium sebanyak 100 peratus tertakluk kepada diskaun premium yang telah dibayar sebelum ini.

“Pengenaan syarat-syarat seumpama ini adalah bagi mengekang spekulasi tanah dan bagi mengelak pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan atas pemberian diskaun oleh Kerajaan Negeri,” katanya sambil memberitahu bahawa semua inisiatif Kerajaan Negeri tersebut berdasarkan satu kajian yang dilaksanakan selama hampir dua tahun sebelum ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI