GEORGE TOWN – Untung selepas cukai Perbadanan Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2012 adalah berjumlah RM29.98 juta.
Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, seramai 9,603 pemegang saham layak menerima pembayaran dividen keseluruhan berjumlah 7.5 peratus, berbanding 4 peratus bagi tahun sebelumnya.
Pun begitu, Pengerusi PBAHB itu berkata, syarikat mengalami penyusutan keuntungan berjumlah RM16.72 juta akibat daripada peningkatan kos pengoperasian syarikat tersebut.
“Ini, turut terjadi akibat peningkatan kos syarikat sebanyak 8.6 peratus setiap tahun.
“Sungguhpun begitu, PBAHB masih mengekalkan tarif pada tahap rendah, di samping, penjimatan sebanyak RM0.9 juta kos rawatan air bagi bahan kimia,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan PBAHB Kali Ke-9 di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut meluahkan rasa bimbang mengenai penggunaan air domestik yang mencatatkan peningkatan 5.9 bilion bagi tahun lepas.
Ini kerana, katanya , penggunaan air domestik di negeri berkenaan meningkat pada 294 liter per kapita sehari, berbanding kadar purata kebangsaan, iaitu kira-kira 210 liter per kapita sehari.
Dari jumlah itu, Guan Eng memberitahu, menyamai penggunaan 60 peratus dari keseluruhan air bekalan di negeri berkenaan.
Tambahnya, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) sebagai syarikat milik penuh PBAHB menanggung subsidi air sebanyak RM66.3 juta.
“Subsidi adalah sesuatu yang kita tidak boleh kekalkan pada satu tempoh yang lama, oleh itu, saya menyeru rakyat negeri ini menjimatkan penggunaan air,” seru beliau.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif PBAHB, Ir. Jaseni Maidinsa berkata, PBAPP berjaya mengurangkan kadar peratus air tidak berhasil dari 18.4 peratus pada 2011 kepada 17.6 peratus pada 2012.
“Rentetan penurunan ini, sebanyak 2.2 bilion liter air telah berjaya dijimatkan
“Namun penggunaan air di negeri ini dilihat agak meningkat dari 283.1 bilion liter pada 2011 kepada 290.6 bilion liter pada tahun lalu,” ujar beliau.
Hadir bersama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.