Dokumen PR1MA hilang mungkin dalih Pusat – Jagdeep

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Dakwaan kehilangan dokumen berwajib berhubung tiga projek pemajuan di bawah Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk membina 12,074 unit rumah mampu milik di Pulau Pinang kemungkinan hanya dalih untuk menutup kelemahan Kerajaan Pusat dalam memenuhi keperluan rakyat di negeri ini semata-mata .

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo bagaimanapun berkata, pihaknya sebelum ini telahpun mengutus surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kasim untuk menuntut penjelasan mengenai perkara berwajib.

“Pengumuman semata-mata tak beri makna, sebaliknya, Kerajaan Persekutuan perlu tunjuk kesungguhan membina perumahan mampu milik serta-merta dengan kemukakan pelan sebenar, sama seperti yang dilakukan oleh sektor swasta di sini.

 “Dokumen yang didakwa terdapat 12,074 unit daripada tiga projek PR1MA telah hilang.

“Ini, mengesahkan teori saya bahawa tidak ada rancangan konkrit untuk membina perumahan mampu milik di Pulau Pinang,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat kepada wartawan di sini baru-baru ini.

ADUN Padang Kota merangkap Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow turut sertai sidang media tersebut.

Tambah Jagdeep, Kerajaan Pusat digesa lebih jujur serta konsistan dalam rancangan memajukan rumah mampu milik di negeri ini, bukannya sekadar membuat beberapa kenyataan umum yang mengelirukan semua pihak termasuk Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIMA, Datuk Mutalib Alias pada tahun 2012 dilaporkan mengumumkan rancangan pembinaan projek PR1MA di bahagian pulau dan tanah besar, Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kenyataannya itu disusuli pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) iaitu cadangan pemajuan 9,999 unit rumah mampu milik di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam.

Pelbagai spekulasi dan pengumuman dibuat sejurus selepas itu, hingga pada Mesyuarat terakhir Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan pada 26 Januari lalu yang turut dihadiri oleh Kon Yeow.

Mengulas mengenai tindak-tanduk Kerajaan Pusat, Jagdeep mendedahkan bahawa satu dokumen yang dibekalkan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) jelas menyatakan sebanyak 12,074 perumahan merangkumi tiga projek PR1MA, kononnya sedang menunggu kelulusan Kerajaan Negeri.

Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Pusat baru-baru ini dilihat seakan berdalih lagi, kononnya dokumen-dokumen berwajib tersebut telah hilang dari simpanan mereka pula apabila kian didesak memberi penjelasan berbangkit kepada Kerajaan Negeri.