Dokumen RFP RMMPg Bukit Gedung dijual mulai 22 November

AIR ITAM – Dokumen tender (RFP) bagi membangunkan rumah mampu milik di Bukit Gedung (RMMPg Bukit Gedung) di bawah Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) akan dijual mulai 22 November 2021.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, iklan bagi panggilan tender tersebut telah disiapkan dan dipamerkan melalui platform media rasmi LPNPP, portal eRumah serta akhbar Berita Harian.

 

Saya berharap proses ini dapat berjalan dengan lancar dan seterusnya dapat memulakan projek rumah mampu milik secepat mungkin.

 

“(Dan) seperti yang dimaklumkan sebelum ini, bahawa pembekalan rumah mampu milik kekal menjadi keutamaan Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat berkelayakan memiliki rumah pertama,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di rumah jagaan warga emas, Little Sisters of the Poor dekat sini tengah hari tadi. 

 

Turut serta, ibunya, Datin Seri Utama Gurmit Kaur yang merupakan mendiang kepada Dato’ Seri Utama Karpal Singh.

 

Mengulas mengenai pembekalan rumah mampu milik, Jagdeep memaklumkan bahawa pihaknya juga akan meneruskan usaha bagi projek-projek pembaharuan semula bandar melibatkan skim perumahan awam di negeri ini.

 

“Sejumlah 14 projek dikenal pasti oleh LPNPP iaitu sembilan projek rumah mampu milik dan lima projek pembaharuan semula (bandar) atau urban regeneration city (URC).

 

Proses panggilan tender untuk Projek Rintis URC Mahsuri pula dijangka akan dibuka pada Februari 2022 nanti.

 

“(Dan) melalui Pelan Induk Pembangunan LPNPP 2021 – 2025, saya harap sasaran untuk menyediakan 220,000 unit rumah mampu milik dapat direalisasikan menjelang tahun 2030,” jelasnya yang turut mendesak supaya Kerajaan Persekutuan membantu Pulau Pinang dalam menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.

 

JAGDEEP Singh Deo (kanan) pada sidang media di sini.

 

Dalam perkembangan berasingan, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, turut mengulas mengenai situasi banjir kilat di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Datuk Keramat dan Sungai Pinang semalam, ekoran hujan tanpa henti sejak beberapa hari lalu.

 

“Walaupun air naik mencecah paras buku lali, namun ia juga cepat surut.

 

Situasi ini menunjukkan bahawa projek jangka pendek dan sederhana yang dirancang oleh Kerajaan Negeri termasuk mendalamkan saluran air serta perparitan, berjaya.

 

“Kalau tidak, pastinya paras air naik mencecah paras dada,” katanya yang menggesa Kerajaan Persekutuan supaya mempercepatkan penyelesaian projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang telah berlanjutan sejak tahun 1999.

 

Tambahan pula, katanya, perubahan cuaca yang mendadak menjadi antara faktor pendesak agar projek RTB Sungai Pinang khasnya dapat diselesaikan secepat mungkin.

 

Difahamkan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membiayai sejumlah RM5.71 juta bagi kerja-kerja naik taraf sistem saliran di lembangan Sungai Pinang dan kawasan sekitar. Selain itu, bagi tahun 2022 sejumlah RM6.45 juta diperuntukkan bagi menjayakan rancangan kerja-kerja naik taraf sistem saliran sedia ada kini.

 

JAGDEEP Singh Deo (berbaju batik) bersama-sama ibu menyantuni penghuni di Little Sisters of the Poor pada majlis jamuan makan tengah hari di sini.

 

Terdahulu, Jagdeep bersama-sama Gurmit hadir ke Little Sisters of the Poor bagi meneruskan tradisi keluarga mendiang Karpal Singh dengan meraikan 65 penghuni warga emas dan 35 kakitangan dalam majlis jamuan makan tengah hari.

 

“Setiap tahun, sempena memperingati mendiang Karpal Singh, saya dan keluarga akan meneruskan tradisi keluarga dengan memberi makanan atau lain-lain bentuk bantuan kepada golongan yang memerlukan,” katanya yang juga menzahirkan penghargaan kepada Penang Eurasian Association kerana turut serta dalam majlis tersebut. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN