IKRAR Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil untuk mempertahan serta meneruskan program Elaun Sara Hidup Nelayan memang dinanti-nantikan oleh semua pihak.
Demikian respons MOHD. SHARIF SHAARI, 60, merupakan salah seorang daripada 1,260 penerima Elaun Sara Hidup Nelayan di Dewan Serba Guna Tapak Ekspo Seberang Jaya pada 25 Oktober 2018.
Beliau merupakan nelayan pantai di Kuala Muda, Seberang Perai Utara sejak lebih empat dekad lalu.
Menurut Mohd. Sharif, bantuan bulanan tersebut diperkenalkan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri pada kadar RM200.
Kemudian, bantuan bulanan itu dinaikkan kepada RM300 ketika Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri.
Pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018 lalu, beliau sendiri bimbang kerana ada khabar angin mengatakan bahawa Elaun Sara Hidup Nelayan terpaksa dihentikan memandangkan Kerajaan Pusat ketika ini menghadapi kekangan kewangan, termasuk lebih RM1 trilion hutang Persekutuan.
Namun, Mohd. Sharif lega apabila Afif sendiri ketika berucap tadi menegaskan khabar angin itu adalah fitnah belaka terhadap kepimpinan Pakatan Harapan.
“Pak Lah yang mula cadang beri elaun sara hidup bulanan ini.
“Saya risau juga apabila dengar cerita elaun ini akan diberhentikan, tapi apabila dengan respons pemimpin kerajaan pada hari ini, jelas kedudukannya,” responsnya kepada wartawan akhbar Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar DARWINA MOHD. DAUD.
Afif, ketika berucap memberitahu bahawa Pakatan Harapan diberi mandat menubuhkan kerajaan di peringkat negeri Pulau Pinang dan Persekutuan bukanlah untuk menghapuskan program Elaun Sara Hidup Nelayan ini.
“Kami (Pakatan Harapan) dipilih untuk membetulkan keadaan…kita buat apa? Kita tangkap perompak dan perasuah.
“Saya yakin semua nelayan di depan saya ini adalah orang yang buat kerja betul dan yang akan kami bantu.
“Kita akan mempertahankan bantuan (dalam) apa jua bentuk untuk para nelayan di seluruh negara, itu komitmen yang kita berikan,” tegasnya disambut tepukkan para hadirin sekalian.
Sungguhpun Kerajaan Persekutuan digambarkan menghadapi hutang yang tinggi serta kekangan kewangan, menurut Afif, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang akan terus melaksanakan bantuan dalam bentuk pemberian pukat kepada nelayan layak.
“Nelayan mesti melatih generasi muda kerana kalau pada masa hadapan tak ada cukup nelayan, siapa nak pergi tangkap ikan.
“Sebab itu, kita kena ada satu sikap, persatuan nelayan pun kena buat program dengan Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan agensi kerajaan seperti LKIM sendiri, untuk memastikan ada (kesinambungan) dalam kalangan nelayan muda.
“Kita nak meningkatkan pengeluaran hasil laut, dan pada masa sama nak meningkatkan juga pendapatan isi rumah keluarga rakyat, seperti pemberian sumbangan Elaun Sara Hidup Nelayan,” ujarnya.
Nada yang sama turut disampaikan oleh Muhammad Faiz, yang juga ADUN Permatang Pasir.
“Bagi saya, nelayan ini adalah tenaga yang sangat penting untuk sektor perikanan.
“Kerana, tanpa bekalan makanan termasuk hasil laut, tak mungkin rakyat Malaysia dapat hidup dengan selesa.
“(Justeru), saya berharap kita di sini tidak mendengar apa-apa tohmahan ataupun khabar angin yang mengatakan Elaun Sara Hidup (Nelayan) ini akan diberhentikan.
“Kami (LKIM) percaya bantuan sara hidup ini penting untuk membantu nelayan, sebab kita tahu kekangan yang dihadapi oleh nelayan dalam memastikan bekalan keselamatan makanan negara senantiasa cukup,” katanya.
Sambil memuji komitmen kerajaan hari ini dalam membela kebajikan rakyat, Mohd. Sharif mencadangkan Elaun Sara Hidup Nelayan kepada mereka yang mempunyai bot sendiri ditingkatkan kepada RM500, supaya dapat menampung kos lepas yang lain seperti kerja-kerja penyelenggaraan bot.
Seorang lagi responden, KHOO YOU KIANG, 58, nelayan pantai di Sungai Udang dekat Nibong Tebal turut memuji komitmen dua pemimpin kerajaan, dalam memastikan program Elaun Kos Sara Nelayan diteruskan.
“Sebelum (PRU14) ini pun saya dapat RM300 tiap-tiap bulan, pada hari ini pun saya dapat RM300.
“Hasil tangkapan tak menentu juga walaupun pada musim bukan tengkujuh.
“Kalau saya belanja minyak RM150, hasil tangkapan tak banyak pun, saya mesti terima.
“Jadi, bantuan RM300 setiap bulan ini bukan dihabiskan untuk belanja di rumah, tapi modal untuk beli minyak dan lain-lain…saya perlu turut ke laut juga, walaupun hasil tangkapan tak menentu.
“Kalau RM300 bantuan (Elaun) Sara Hidup Nelayan dapat ditingkatkan ke RM400 ataupun RM500 tiap-tiap bulan, sangat bantu kami tangkap banyak ikan untuk rakyat makan,” jelasnya.
Beliau berharap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Salahuddin Ayub dapat menyediakan lebih banyak peruntukan untuk menggalakkan persatuan nelayan merekrut lebih ramai nelayan daripada golongan muda.
Difahamkan, Kerajaan Persekutuan melalui LKIM telah mengagihkan Elaun Sara Hidup Nelayan sebanyak RM250 dan RM300 setiap bulan kepada kira-kira 3,300 nelayan di seluruh Pulau Pinang.
Pada tahun 2017, Afif menyatakan bahawa jumlah keseluruhan yang diagihkan adalah berjumlah RM11,839,500.
Untuk tahun 2018 pula, beliau berkata, jumlah yang telah dibelanjakan sehingga kini untuk nelayan PNK Seberang Perai adalah sebanyak RM3,964,500.
“Pada pagi ini, seramai 1,260 nelayan akan menerima elaun yang melibatkan peruntukan sebanyak RM372,250.
“Diharapkan bantuan ini sedikit-sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan tuan-tuan dan puan-puan untuk menyara keluarga,” ujar Afif sambil merakamkan penghargaan atas sumbangan golongan nelayan dalam memastikan bekalan keselamatan makanan (food security) di Pulau Pinang senantiasa cukup.