Dr. Ahmad Jailani bersara hari ini

Admin

GEORGE TOWN – Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus menamatkan perkhidmatan secara rasminya hari ini selepas tujuh bulan menjawat jawatan itu sejak 16 Disember tahun lepas.

Persaraan beliau diraikan oleh kakitangan-kakitangan dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang (PSUKPP) dalam satu majlis yang penuh bermakna dekat sini sebentar tadi.

Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus disambut mesra oleh kakitangan PSUKPP.
Menerima cenderahati tanda ingatan daripada wakil jabatan PSUKPP.
Bergambar kenang-kenangan bersama kakitangan PSUKPP.
Persembahan tarian turut mewarnai majlis makan malam bersama-sama penjawat awam sempena meraikan persaraan Dr. Ahmad Jailani.
Majlis diakhiri dengan sesi pemotongan kek bersempena ulang tahun kelahiran Ahmad Jailani yang ke-60.

Semasa berucap, Ahmad Jailani mengingatkan seluruh anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang supaya melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing dengan sebaik mungkin.

“Setiap daripada kita harus menghargai masa yang diberikan oleh Pencipta (Allah SWT) dan jangan bertangguh dalam melakukan sesuatu pekerjaan kerana hari esok masih belum pasti untuk kita semua.

“Hargai masa yang kita ada hari ini dengan melakukan sesuatu yang boleh memberi manfaat sama ada kepada diri sendiri, ahli keluarga, komuniti, negeri atau negara.

“Hal ini demikian kerana kita sebenarnya dilahirkan untuk memberi manfaat kepada orang lain,” katanya semasa menyampaikan amanat terakhir kepada seluruh kakitangan PSUKPP.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Ahmad Rizal Mohd. Hanapiah; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Mohd. Hafiz Aswad Nadzri serta ketua-ketua jabatan berkaitan.

Dalam ucapannya juga, Ahmad Jailani berkongsi pengalaman sepanjang perjalanan karier beliau terutamanya ketika menjawat jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan Ketua Setiausaha di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Pada masa sama, beliau turut menyatakan rasa syukur dan gembira kerana diberi peluang untuk berbakti di negeri Pulau Pinang walaupun dalam tempoh masa yang agak singkat.

“Banyak perkara baharu yang dapat saya pelajari sepanjang berkhidmat di negeri ini, khususnya berkaitan dengan perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dilihat sangat baik.

“Walaupun dalam tempoh yang agak singkat tetapi saya dapat menyaksikan banyak perubahan berjaya dilaksanakan, antaranya adalah kejayaan penubuhan Unit Pengurusan Bencana.

“Apa yang dicapai dalam tempoh ini akan menjadi pendorong kepada saya untuk terus melakukan yang terbaik bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Berkongsi mengenai perancangan selepas bersara, Ahmad Jailani menyatakan bahawa beliau akan memberikan tumpuan kepada pengurusan yayasan miliknya yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu.

“Walaupun saya telah bersara dari segi tugas tetapi masih banyak perkara yang saya perlu lakukan seperti membaca, menulis dan melakukan aktiviti kesukanan,” katanya yang merupakan sosok yang ramah dan mudah didekati.

Semalam, Ahmad Jailani turut diraikan dalam majlis makan malam bersama-sama penjawat awam yang turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun, ketua-ketua bahagian serta pegawai-pegawai kanan.

Ahmad Jailani, 60, sebelum ini pernah memegang jawatan penting di beberapa kementerian, antaranya Pengarah Bahagian Pembangunan Strategik, Jabatan Penyiaran Malaysia; Ketua Setiausaha di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Ketua Pengarah dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Beliau juga pernah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan seperti Anugerah Khidmat Cemerlang (Melintang) pada tahun 1997 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada 2006.

Oleh : SUNARTI YUSOFF & NORASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & ALISSALA THIAN