Dr. Joohari Ariffin calon Pakatan Harapan PRK Sungai Bakap

Admin
img 20240613 wa0009

SUNGAI BAKAP – Pakatan Harapan (PH) menamakan anak jati Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin sebagai calon bagi mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N20 Sungai Bakap yang akan berlangsung pada 6 Julai ini.

Pengumuman nama calon dibuat oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dalam Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK Sungai Bakap dekat Bandar Tasek Mutiara di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Dato’ Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Dato’ Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek; Ahli Jawatankuasa DAP, R.S.N. Rayer; Ketua Bahagian UMNO Nibong Tebal, Rashidi Zinol; Naib Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Dr. Zaidi Zakaria; Pengarah PRK Sungai Bakap, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid serta barisan kepimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan juga hadir.

img 20240613 wa0005

img 20240613 wa0003
Dr. Joohari Ariffin.

Dalam ucapan sulungnya, Joohari berkata bahawa beliau akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Sungai Bakap tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya berasa sangat teruja apabila diminta untuk berkhidmat kepada masyarakat di Sungai Bakap.

“Harapan saya adalah saya dapat mengekalkan imej sebagai seorang pendidik, guru yang sentiasa merendah diri,” katanya sambil berharap agar diberikan sokongan oleh masyarakat di Sungai Bakap.

Joohari, 60, yang dilahirkan di Permatang Pasir mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap dan meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Penang Free School.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam pengkhususan ekonomi dan pengajian Islam serta Ijazah Sarjana Kepengetuaan dari Universiti Malaya (UM) dan menamatkan Ijazah Kedoktoran (PhD) Pengkhususan dan Kepimpinan Pendidikan di Universiti Sains Malaysia (USM).

Joohari sebelum ini pernah berkhidmat sebagai guru penolong kanan, penolong kanan pentadbiran, guru kanan teknik dan vokasional, pensyarah serta Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara.

img 20240613 wa0010

img 20240613 wa0022

img 20240613 wa0016

img 20240613 wa0024

img 20240613 wa0026

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang menyatakan bahawa beliau percaya bahawa pimpinan Kerajaan Perpaduan pada peringkat negeri dan pusat telah memberikan pertimbangan sewajarnya untuk memilih calon yang benar-benar dapat membawa semangat perpaduan.

“Sekiranya (Kerajaan) Perpaduan menang di Sungai Bakap, ini menandakan semangat perpaduan sudah mula mendapat sokongan padu daripada rakyat jelata khususnya di Sungai Bakap.

“Bukan sesuatu yang mudah untuk membentuk kerajaan baharu yang diterajui komponen baharu yang tidak biasa bekerjasama tetapi selepas setahun setengah, kita buktikan bahawa Kerajaan Perpaduan kini semakin mantap.

“Ini bermakna, kemenangan di Sungai Bakap adalah hala tuju negara dan bukannya perpecahan seperti yang dimainkan oleh parti lawan, kerana kebersamaan rakyat adalah formula yang kita mahu untuk maju ke hadapan,” katanya ketika berucap.

Pada masa sama, Ketua Menteri Pulau Pinang itu menyatakan bahawa kejayaan membawa pembangunan dalam sektor ekonomi, sosial dan industri di negeri Pulau Pinang telah membuktikan Pakatan Harapan telah mentadbir dengan baik.

“Kita telah memastikan rakyat jelata hidup dalam suasana sejahtera, harmoni, mempunyai peluang pekerjaan, ada pendapatan yang baik dan menikmati pelbagai kemudahan infrastruktur yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri,” ulasnya.

Kon Yeow memberitahu bahawa di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim, Pulau Pinang mula menerima pelbagai manfaat melalui kelulusan projek-projek infrastruktur yang diperlukan rakyat negeri ini sejak sekian lama.

“Contohnya, Timbalan Menteri Kerja Raya memperkukuhkan jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan sedang meneliti permohonan Kerajaan Negeri untuk membina lebuh raya bertingkat dari Juru ke Sungai Dua.

“Selain itu, saya percaya satu lagi projek yang begitu penting, Projek Air Perak-Pulau Pinang juga sedang dalam rundingan yang mana ia menandakan satu permulaan kerjasama antara negeri-negeri di wilayah utara melalui bantuan daripada Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff yang mewakili PAS-Perikatan Nasional pada 29 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Bakap pada 6 Julai (Sabtu), manakala 22 Jun (Sabtu) sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 2 Julai (Selasa) dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS