Dr. Mohamad Farazi angkat sumpah sebagai Pegawai Kewangan Negeri

Admin

GEORGE TOWN – Mantan Pengarah Jabatan Pembangunan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari pagi ini mengangkat sumpah sebagai Pegawai Kewangan Negeri yang baru.

 

Lafaz ikrar sumpah simpan rahsia disempurnakan di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dengan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta ex-officio Kerajaan Negeri.

DR. Mohamad Farazi Johari menyempurnakan lafaz ikrar sumpah di sini pagi ini.

Dr. Mohamad Farazi sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) antara Jun 2016 sehingga September 2018 sebelum ke Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pejabat Perdana Menteri sebagai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang.

 

Berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Projek dari University of Stirling, United Kingdom serta pernah menjawat jawatan Timbalan Pengarah (Pengurusan Projek) di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), pelantikan beliau adalah bagi menggantikan Dato’ Sarul Bahiyah Abu yang telah bertukar ke Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

Bagi pihak pentadbiran Kerajaan Negeri, Kon Yeow mengalu-alukan kehadiran Dr. Mohamad Farazi dan menzahirkan ucapan tahniah atas lantikan tersebut.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD