GEORGE TOWN – Kemerosotan tahap sara diri (SSL) ayam pedaging di Pulau Pinang bagi tahun 2021 pada kadar 113.27 peratus berbanding tahun 2019 (140.86 peratus) sebenarnya berpunca daripada kekurangan bilangan ladang.
Mengulas lanjut, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata bahawa pada tahun 2019 terdapat 125 ladang di Pulau Pinang berbanding 120 ladang pada 2021.
“(Kesan berantainya adalah) pengurangan populasi ternakan sebanyak 961,390 ekor.
“Pengurangan populasi ayam pedaging hampir 1 juta ekor ini memberi kesan besar kepada pengeluaran kerana tempoh pusingan ayam pedaging yang singkat dan pengeluaran lebih tinggi (5.5 hingga 6 kali setahun) jika dibandingkan sumbangan daripada ayam kampung (atau) ayam penelur dan pembaka takai,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti dalam sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 di sini pada 1 Jun 2022.
Penjelasan Norlela itu sekali gus menjawab isu yang dibangkitkan oleh ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin pada Isnin lepas.
Selain itu, Norlela turut memaklumkan bahawa 76,553.94 tan matrik (MT) anggaran pengeluaran daging ayam dan itik di negeri ini bagi tahun 2021 adalah menyamai SSL 113.27 peratus.
“Berlaku penurunan pengeluaran dari tahun sebelumnya (2020) sebanyak 3,201.19 MT seiring dengan penurunan populasi bagi ternakan ayam,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Norlela turut memberi respons mengenai isu kenaikan harga ayam pedaging yang dikatakan berpunca daripada kenaikan nilai komoditi utama makanan ternakan seperti bijirin jagung dan soya pada peringkat global.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian bersedia untuk mempertimbang permohonan Sijil Pendudukan Sementara (TOL) untuk tujuan pengeluaran makanan ternakan, jika ada permintaan.
Di samping itu, beliau turut mencadangkan ‘beras hancur’, petai belalang, kacang kelisa dan larva lalat baka ‘Black Soldier Fly’ yang kaya dengan sumber tenaga dan protein dijadikan ‘ganti’ makanan ternakan di ladang ayam.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD