Dr. Wu Lien-Teh inspirasi P. Pinang – KM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Penang Institute (PI) dengan kerjasama Kolej Perubatan Pulau Pinang (PMC) baru-baru ini menganjurkan Simposium Dr. Wu Lien-Teh sebagai mengingati kejayaan tokoh perubatan tersebut di negeri ini dalam dunia perubatan global.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap, kekayaan nilai sejarah lampau dan prospek ekonomi masa depan yang wujud di Pulau Pinang dapat menjadi inspirasi istimewa kepada rakyat serta mereka yang melancong ke negeri ini.

“Dr. Wu yang merupakan tokoh terkenal dalam dunia perubatan dunia memang inspirasi kepada kita semua.

“Apa yang kita lihat sebagai wilayah kecil bersejarah George Town Tapak Warisan Dunia sebenarnya adalah hasil daripada penyatuan warisan agama, sosial, ekonomi dan politik.

“Dalam erti kata lain, ia adalah pertemuan pelbagai budaya dan etnik yang telah membuat, dan terus membuat, Pulau Pinang tempat yang istimewa,” ujarnya pada Majlis Jamuan Malam Simposium Dr. Wu Lien-Teh di sini baru-baru ini.

Turut berucap, Ketua Pegawai Eksekutif PI, Zairil Khir Johari, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Difahamkan, Pengarah Universiti- Universiti bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Prof. Tony Capon membuat pembentangan ilmiah pada sebelah siang forum tersebut, manakala, Pengarah PMC, Professor of Medicine, Professor Amir S. Khir pula menyampai ucapan alu-aluan pada simposium tersebut.

Menurut Guan Eng, sumbangan Dr. Wu serta penyokongnya seperti penubuhan akhbar bercetak Kwong Wah Yit Poh di negeri ini demi menggerakkan revolusi China masih boleh dilihat sampai sekarang.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk kewujudan Kriteria Press pada tahun 1883, adalah syarikat pertama untuk menerbitkan akhbar dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina, iaitu Chahyah Pulau Pinang , The Straits Echo dan The Penang Sin Poe.

Tambahnya, Pulau Pinang wajar dibanggakan sebagai pelopor sejarah kerana Seniman Agung P. Ramlee serta tokoh refomis Islam, Syed Sheikh Al-Hadi juga pernah mengukir sejarah besar masing-masing di negeri ini.

Selain itu, Guan Eng berkata, kedudukan Pulau Pinang yang strategik melayakkan negeri ini menjadi salah satu pelabuhan interport, serta menjadi pusat berhimpunan jemaah haji sekitar rantau ini ke Makkah pada awal tahun 1970-an.

Justeru, harapan beliau , penubuhan Hab Teknologi Maklumat Penyumberan Luar Proses Perniagaan (IT-BPO) bernilai RM3.3 bilion serta beberapa kejayaan lain di negeri ini baru-baru ini dapat terus melonjak potensi Pulau Pinang sebagai masa depan Malaysia.

Dr. Wu Lien-teh merupakan individu pertama yang memenangi biasiswa Queen dalam Straits Settlement bagi pengajian perubatan di Universiti Cambridge selepas menamatkan pengajian di Penang Free School pada 1896.

Beliau juga merupakan rakyat pertama negara dicalonkan untuk Hadiah Nobel dalam bidang perubatan pada 1935 ekoran sumbangan beliau dalam bidang berkenaan termasuk melawan wabak pneumonia yang melanda beberapa bahagian negara China pada ketika itu, malah juga telah memodenkan perkhidmatan perubatan China.

Selepas meninggalkan Malaya (kini Malaysia) pada tahun 1908 ekoran penerimaan jemputan daripada Grand Councillor Yuan Shikai dari kerajaan Dinasti Qing di Peking bagi penjawatan Timbalan Pengarah Imperial Army Medical College di Tianjin. Beliau kemudian dihantar ke Harbin untuk menyiasat wabak misteri pneumonia yang telah mengorbankan 60,000 nyawa. Atas daya usaha sendiri, beliau berjaya menyelamatkan beribu-ribu nyawa penemuan penawar wabak berkenaan.

Walaupun kekurangan sumber maklumat dan kemudahan dalam melawan wabak di Harbin, beliau berjaya mewujudkan beberapa makmal dan hospital di sana. Malah, stesen kuarantin dan lokasi ‘pembakaran’ mayat pesakit berjaya menghentikan penularan wabak pada tahun 1911. Kemudian, beliau berjaya menghapuskan epidemik malaria pada 1919 dan perulangan wabak sama, 1921.

Pada tahun 1937, Dr. Wu kembali ke Malaya dan mewujudkan praktis perubatan di Ipoh yang mana beliau memberi perkhidmatan percuma kepada golongan tidak mampu.