DRT Rapid Penang mula beroperasi hari ini

de007a5e 4f3f 4a28 9f57 a9c9f0b5a735

AIR ITAM – Perkhidmatan percubaan bagi transit responsif atas permintaan (DRT) Rapid Penang yang pertama di kawasan Farlim dan Air Itam mula beroperasi hari ini sehingga 31 Oktober 2024.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata perkhidmatan tersebut bakal memberikan manfaat kepada penduduk yang sukar mendapatkan akses kepada perkhidmatan bas terutamanya di kawasan perumahan yang sempit dan berbukit.

“Penumpang perlu memuat turun aplikasi Kumpool di App Store dan Google Play Store jika ingin menggunakan perkhidmatan DRT.

“Perkhidmatan ini boleh menampung seramai 12 orang penumpang dengan waktu operasi adalah pada setiap hari dari jam 6.00 pagi sehingga 11.00 malam.

30641e6b 5625 414f 8343 527656af7ff5
JOSEPH Ng Soon Siang.

“Tambang yang dikenakan untuk setiap perjalanan adalah sebanyak RM1.00 dan pembayaran boleh dilakukan secara tunai atau menggunakan Pas Mutiara My50 serta Pas Perjalanan OKU Smile,” kata Soon Siang.

Mengulas lanjut, Soon Siang mencadangkan bahawa pihak Kumpool untuk mengemas kini aplikasi tersebut menjadi lebih mesra pengguna.

“Kebanyakan penumpang yang menggunakan pengangkutan awam di kawasan ini adalah warga emas.

“Aplikasi Kumpool memerlukan penumpang untuk mengisi banyak langkah untuk daftar masuk dan perlu memberi maklum balas jika setiap kali ingin menggunakannya.

“Hal ini akan menyebabkan banyak masa diperlukan untuk satu perjalanan ke destinasi tertentu.

“(Tambahan pula), susah untuk warga emas yang tidak ditemani penjaga mereka untuk membuat tempahan,” tambahnya selepas mencuba menggunakan aplikasi tersebut.

1f6cb079 04b8 47ab b17d 70115e8d8d58
CARA menempah perkhidmatan DRT.

Difahamkan, perkhidmatan dua buah van yang meliputi jarak dua kilometer itu menghubungkan penumpang ke beberapa kawasan tumpuan seperti Pekan Air Itam, Kek Lok Si, Sunshine Central, Klinik Kesihatan Bandar Baru Air Itam dan Pekan Farlim.

Teks dan Gambar : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI