GEORGE TOWN – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilucut hak sebagai Ahli Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata bahawa keputusan itu dibuat selepas ADUN Bertam, Khalid Mehtab Mohd. Ishaq dan ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim menarik balik sokongan terhadap Kerajaan Negeri PH Pulau Pinang.
“Tindakan kedua-dua ADUN Bertam dan ADUN Teluk Bahang yang jelas menyokong kerajaan Perikatan Nasional adalah bercanggah dengan pendirian PPBM Pulau Pinang serta PH Pulau Pinang.
“Justeru, Majlis memutuskan untuk melucutkan hak kedua-dua ADUN tersebut sebagai Ahli Kerajaan PH. Selaras itu, segala hak dan kelayakan mereka sebagai ADUN Kerajaan PH adalah dibatalkan serta-merta,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.
Turut serta, Timbalan Pengerusi I PH Pulau Pinang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Muhammad Bakhtiar Wan Chik; Timbalan Pengerusi 2 PH Pulau Pinang daripada Parti Amanah Negara (Amanah), Roslan Ahmad serta barisan ADUN.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang (daripada Parti Tindakan Demokratik, DAP) mengumumkan bahawa status ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin sebagai Ahli Kerajaan Pakatan Harapan turut digantung selepas PKR menggantung keahliannya baru-baru ini.
“Oleh itu, segala hak dan kelayakannya sebagai ADUN Kerajaan Negeri adalah digantung dengan serta-merta sehingga keputusan muktamad dibuat oleh pimpinan PKR,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri bakal membentangkan usul untuk mengosongkan kerusi Ahli-Ahli yang terlibat bagi pertimbangan Dewan Undangan Negeri pada sidang akan datang.
“Ia adalah selaras dengan Seksyen 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang iaitu mana-mana Ahli yang berhenti menjadi ahli parti yang diwakilinya semasa pilihan raya atas apa jua alasan hendaklah mengosongkan kerusi masing-masing,” jelasnya.
Menjawab soalan pemberita, Kon Yeow mengakui Mahkamah Persekutuan sebelum ini pernah membuat keputusan menolak undang-undang anti lompat parti tetapi menyatakan bahawa kes baru perlu didengar memandangkan berlakunya pengkhianatan baru-baru ini.
“Ini merupakan waktu yang tepat bagi mahkamah untuk mentafsirkan kes ini, memandangkan pengkhianatan politik berlaku telah mengancam demokrasi berparlimen, yang telah menyebabkan kejatuhan pemerintah sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan,” ulasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melantik ‘ADUN angkat’ bagi mengurus dan menyelaras program serta urusan kerajaan di ketiga-tiga kawasan tersebut.
“Tiga ‘ADUN angkat’ terbabit adalah Muhammad Bakhtiar Wan Chik bagi kawasan Teluk Bahang; Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kawasan Bertam) dan Nurul Izzah Anwar (kawasan Seberang Jaya).
“Apa-apa peruntukan bagi KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) berkenaan akan diuruskan oleh ‘ADUN angkat’ ini untuk pertimbangan Pejabat Kewangan Negeri serta Pejabat Daerah bagi kelulusan sesuatu projek kecil atau sumbangan kepada mana-mana pertubuhan,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS