Dua angkat sumpah terima jawatan Ahli Majlis MBSP baharu

Admin
(Dari kiri) SR. Rozali Mohamud, Ir. Rosnani Mohamud (Setiausaha Bandaraya MBSP), Rohayah Zakaria dan Ngoh Cheng Hai saling menyantuni, selepas selesai Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Ahli Majlis Tahun 2020 di Menara Bandaraya di sini pada pagi tadi.
SEBERANG JAYA – Rohayah Zakaria dan Ngoh Cheng Hai pada pagi ini melafazkan ikrar serta mengangkat sumpah terimaan jawatan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Menara Bandaraya dekat sini.
Istiadat tersebut dilangsungkan di hadapan Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, serta disaksikan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.
Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees; dan ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye.
Ketika berucap, Rozali memberitahu bahawa pelantikan kedua-dua Ahli Majlis baharu berkenaan adalah berdasarkan Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Saya berharap kedua-dua Ahli Majlis baharu dapat menjalankan tugas, kewajipan dan tanggungjawab selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri dan kehendak Seksyen 10 (1) Akta Kerajaan Tempatan 1976,” ujarnya pada 3 September 2020.
Dalam pada itu, Rozali turut merakamkan penghargaan kepada A’ziss Zainal Abidin dan Marshidaliza Marzuki atas khidmat sebagai Ahli Majlis sejak tahun 2018.
Ketika ditemui dalam sidang media usai majlis berkaitan, Jagdeep memberitahu bahawa MBSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merupakan ‘lapisan kedua’ kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat di negeri ini.
“Kita (di Pulau Pinang) perlu menjayakan kesemua misi dan visi pada ‘lapisan pertama’ iaitu Pihak Berkuasa Negeri yang ada tanggungjawab untuk melaksanakan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 dan satu lagi adalah visi Penang2030, (sementara) MBSP dan MBPP adalah ‘lapisan kedua’ dalam melaksanakan semua misi dan visi ini,” jelasnya yang juga ADUN Datuk Keramat.
Dalam perkembangan lain, Jagdeep sekali lagi menegaskan bahawa seluruh Pulau Pinang masih dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang baru dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
Justeru, beliau meminta kedua-dua PBT terus melaksanakan langkah pemantauan dan penguatkuasaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) PKPP, meliputi semua sektor ekonomi negeri.
“Sehingga semalam (2 September 2020), sebanyak 259,643 premis telah diperiksa oleh MBPP, tahap pematuhan adalah begitu baik iaitu 99.59 peratus, sementara hasil pemeriksaan MBSP ke atas 498,395 (premis) juga adalah baik sekali iaitu pada 99.33 peratus,” jelasnya.
Sementara itu, Rohayah yang juga bekas Penolong Kanan di sebuah sekolah memberitahu beliau berhasrat untuk meningkatkan infrastruktur trafik terutama melibatkan murid-murid sekolah.
“Saya berminat pada polisi infrastruktur, bangunan dan juga keselamatan rakyat.
“Saya lihat masih banyak infrastruktur awam yang lama, contohnya pada waktu puncak di sekolah memang memerlukan lebih banyak jejantas, bukan sahaja meningkatkan keselamatan pejalan kaki, juga mengurangkan kesesakan trafik,” zahirnya sambil merakamkan penghargaan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana memberi peluang kepadanya sebagai Ahli Majlis.
Manakala, Cheng Hai pula memberitahu beliau akan manfaatkan pengetahuan dan pengalamannya sebagai pegawai kontrak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat teramai di Seberang Perai.
“Saya juga masih perlu belajar lagi daripada Ahli-ahli Majlis yang berpengalaman di sini, saya akan cuba untuk ikut dasar serta indeks prestasi utama (KPI) yang ditetapkan oleh pucuk pimpinan Kerajaan Negeri,” maklumnya sambil merakamkan penghargaan kepada pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang atas pelantikannya tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS