Dua atlet kebangsaan bantu Pulau Pinang raih emas acara bola tampar pantai

Admin
img 20240823 195608 757

LUNDU – Gandingan dua atlet kebangsaan, Nur Farwizah Aina Ahmad Nizar dan Nur Auni Maisarah Shamsulrizal ternyata berhasil membantu Pulau Pinang meraih pingat emas dalam acara bola tampar pantai.

Nur Farwizah Aina, 20, dan Nur Auni Maisara, 17, yang berada dalam kumpulan A berjaya menewaskan pasangan Selangor A dengan keputusan 2-0 (21-11; 21-15) dalam acara yang berlangsung dekat Union YES Retreat Training Centre @ Siar di sini sebentar tadi.

img 20240823 195627 614img 20240823 195635 121img 20240823 195642 621

 

 

Bercakap kepada Buletin Mutiara, jurulatih pasukan bola tampar Pulau Pinang, Mohamad Hafiz Mohd. Jamil berkata disiplin sangat baik yang ditunjukkan oleh kedua-dua atlet di sepanjang perlawanan menjadi faktor kejayaan yang diraih hari ini.

“Syukur alhamdulillah, apa yang kami rancangkan hari ini telah membuahkan kejayaan.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada disiplin yang tinggi ditunjukkan oleh atlet-atlet kita, di samping mereka berjaya mengekalkan momentum sejak dari hari pertama perlawanan sehingga ke peringkat akhir hari ini.

“Mereka juga telah melaksanakan arahan yang diberikan oleh jurulatih dengan cukup baik,” katanya yang bertanggungjawab melatih atlet-atlet berkenaan sejak tiga tahun lalu.

img 20240823 195701 245img 20240823 195714 534img 20240823 195711 026img 20240823 195730 377img 20240823 195757 699img 20240823 195807 345

Mohamad Hafiz menambah, kejayaan tersebut juga tidak akan hadir tanpa sokongan semua pihak terutamanya ibu bapa atlet dan ketua jurulatih.

“Dorongan daripada ibu bapa termasuk pihak sekolah, terutamanya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti serta institusi-institusi terlibat yang telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk mereka semasa menjalani latihan.

“Disebabkan sokongan inilah telah memberikan semangat kepada kami mencapai kejayaan hari ini,” katanya sambil menambah bahawa kedua-dua atlet berkenaan akan terbang ke China untuk menyertai kejohanan dunia bawah 19 tahun di sana.

Di samping pingat emas, pasukan bola tampar pantai turut menyumbang satu pingat gangsa menerusi pasukan B yang juga menewaskan Selangor B dengan keputusan 2-0.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & MSNPP